Pertembungan Pahang Rangers dan Selangor menepati apa yang selalunya disebut ‘perlawanan berintensiti tinggi’ dan Luis Fonseca gembira pasukannya berjaya keluar sebagai pemenang aksi panas ini dengan penuh sensasi, penuh bergaya.
Lebih membuatkan pengendali Pahang Rangers itu berbangga, kemenangan 6-5 itu hadir dengan mengetepikan tekanan disebabkan mutu pengadilan buruk dan tidak konsisten oleh pengadil, Amirul Aizat Mohd Lodin.
Ya, Amirul Aizat, nama familiar? Pengadil FAM ini pernah digantung kerana membuat kesilapan ‘budak sekolah’ dengan berada di kedudukan yang salah di dalam kotak penalti ketika mengadili perlawanan Liga Premier antara Kelantan dan Perak II pada 2021.
Baca Juga: Selangor Pancing Tiga Bekas Tonggak Pahang Rangers
Kegagalan pengadil mengawal permainan dengan baik menyaksikan perlawanan berlangsung tegang, dengan kedua-dua pasukan terlibat di dalam insiden-insiden panas hingga mencetus pergaduhan besar. Malah, kedua-dua pasukan dilihat silih berganti membantah keputusan pengadil yang banyak membuat kesilapan dalam keputusan-keputusan penting.
“Ia perlawanan sukar menentang lawan yang berada di tahap tinggi dan sentiasa fokus. Kami berada di depan 2-0 dan Selangor boleh bangkit pun adalah kerana kesilapan yang kami buat di depan gol.
“Separuh masa kedua kami bermula dengan agak lemah kerana tekanan serta kualiti pengadilan yang buruk. Ia perlawanan di mana kami mencipta deretan peluang jaringan, tetapi yang skor adalah pasukan lawan, dan berada di depan sehingga memaksa kami untuk bermain powerplay.
“Kami berjaya untuk comeback melalui powerplay, kami meneruskan asakan dan mendapat dua gol pantas untuk mendahului semula perlawanan di penghujung, sebelum mengakhiri perlawanan dengan kemenangan tipis 6-5.
“Selepas menonton semula rakaman perlawanan, saya sedar betapa manisnya kemenangan ini. Bagi saya kami boleh menang dengan jaringan lebih besar, tetapi kami tidak dapat bermain dengan tenang.
“Permainan kami terganggu dengan sebab-sebab yang tidak sepatutnya. Dua gol yang mereka jaringkan adalah pelik. Gol keempat berpunca daripada sepakan sudut yang tidak sepatutnya mereka dapat, ia sepatutnya sepakan gol.
“Manakala gol kelima lagi lawak, bola terang-terang keluar selepas ditanduk kapten mereka, tetapi macam mana mereka yang dapat kick-in dan skor gol.
“Jadi disebabkan itu, saya perlu tabik kepada pemain yang memberikan segalanya, memberikan 100 peratus, dan lebih penting tahu apa perlu dilakukan pada situasi sedemikian. Mereka semakin bertambah baik sebagai satu pasukan.
“Tidak lupa kepada penyokong yang tidak putus memberikan sokongan dan membantu pasukan bangkit,” ujar Luis Fonseca.
Dalam aksi di SUKPA itu, Pahang Rangers menjaringkan gol menerusi Akmarulnizam Idris, Felipe de Souza (dua gol), Matheus Moura, Razin Rahim dan Harith Naim manakala Selangor membalas menerusi Vitor dos Santos (empat gol) dan Syahir Ikbal Khan.
Tiga mata yang diraih pada Sabtu lalu menyaksikan Pahang Rangers melonjak ke tangga kedua dengan 15 mata dan terus mengekori rapat JDT yang memimpin carta liga dengan 18 mata.