Perlis FA bersedia cabar keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggantung mereka sebagai ahli gabungan.
Presiden Perlis FA, Zamri Ibrahim berkata pihaknya sedang meneliti kandungan surat penggantungan dan dokumen berkaitan untuk mencabar keputusan FAM itu yang dianggap tidak adil.
“Sedikit masa lagi Perlis FA akan failkan kes di Mahkamah Tinggi Kangar untuk cabar keputusan FAM itu,” kata Zamri.
FAM pada 4 Disember lalu menggantung Perlis FA sebagai ahli gabungan atas kegagalan mematuhi arahan FIFA untuk membayar tunggakan gaji dan pampasan kontrak bekas Pengarah Sukan persatuan itu, Matt Holland berjumlah hampir RM1 juta.
Baca juga: Tiada Pertuduhan, Perlis FA Tiba-Tiba Digantung
Baca juga: Jadual dan Info Siaran Langsung Piala ASEAN (Piala AFF)
Badan induk itu turut memaklumkan sebagai responden kedua, FAM sendiri dikenakan denda sekitar RM25,000 oleh FIFA atas kesalahan dilakukan Perlis FA.
Malah tindakan lanjut juga berpotensi dikenakan ke atas FAM, antaranya sekatan peruntukan kewangan sebanyak 20 peratus daripada Program FIFA Forward sehinggalah pembayaran diselesaikan sepenuhnya.
Justeru FAM menyatakan Perlis FA digantung kerana secara serius melanggar obligasi sebagai ahli dan dalam kes ini telah melanggar arahan atau keputusan daripada FIFA.
“Penggantungan ini dibuat bagi mengelak FAM dikenakan tindakan lanjut oleh FIFA termasuk FAM perlu membayar semua bayaran yang harus dibayar oleh PFA sehingga boleh menyebabkan FAM dipertanggungjawabkan untuk kesemua hutang tersebut,” menurut kenyataan FAM.
Tiada Arahan Daripada FIFA
Begitupun, Zamri hairan FAM tidak langsung memberi peluang kepada Perlis FA memberi penjelasan sebaliknya hanya memetik nama FIFA.
“Dalam hal ini juga, saya tidak faham mengapa FAM secara tiba-tiba menggantung kita tanpa ada sebarang sesi pendengaran atau penjelasan daripada kita.
“Jika diikutkan FIFA tidak pernah memberi tindakan arahan menggantung PFA dan yang minta untuk kita digantung itu adalah Holland sendiri.
“Jadi bila Holland minta FIFA untuk menggantung kita, FIFA kemudian menghantar satu surat rasmi kepada saya berhubung tuntutan berkenaan. Saya ‘lawan balik’ dengan menghantar jawapan balas berserta penjelasan. FIFA kemudian tidak menggantung kita atas penjelasan yang kita berikan,” katanya kepada BH Sukan.
Beliau juga memaklumkan akan berhubung dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memeriksa status Matt Holland ketika bertugas bersama Perlis FA pada 2019.
“Kita akan memeriksa jika dia mempunyai permit kerja atau tidak ketika bertugas sebagai Pengarah Bolasepak PFA ketika itu. Sekiranya tiada di mana saya juga mengesyaki memang tiada (permit kerja), maka kita akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia serta FIFA untuk ketahui sama ada tuntutan Holland itu sah atau tidak,” ujarnya.