HomeSukanDollah Salleh Dijangka Bertanding Di Kongres Pemilihan FAM

Dollah Salleh Dijangka Bertanding Di Kongres Pemilihan FAM

Bekas jurulatih pasukan kebangsaan, Dato’ Dollah Salleh antara yang akan bertanding pada Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan berlangsung bulan depan.

Menerusi senarai yang ‘bocor’ dan tular di media sosial, Dollah yang kini berperanan sebagai pengurus pasukan Sri Pahang, dijangka bertanding bagi jawatan Naib Presiden bersama-sama Dato’ Azhar Jamaluddin, Datuk Seri Rosmadi Ismail dan Saaran Nadarajah.

Baca juga: Presiden FAM Diminta Henti Ambil Gaji, Kerja Secara Sukarela

Turut akan bertanding adalah seorang lagi bekas pemain dan jurulatih, Zainal Abidin Hassan bagi jawatan Exco.

Dollah Salleh merupakan nama yang tidak perlu pengenalan dalam arena bolasepak tempatan. Beliau antara pemain terbaik pernah mewarnai kancah bolasepak tempatan selama hampir dua dekad bermula 1980-an.

Beliau antara nama ikonik di pentas domestik mahupun bersama skuad negara dan selepas bersara, mencipta nama pula dalam bidang kejurulatihan hingga mendapat gelaran jurulatih magis selepas membawa MPPJ Selangor muncul kelab pertama menjulang Piala Malaysia pada 2003.

Beliau meneruskan sentuhan cemerlang dengan membimbing Selangor muncul juara treble Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2005.

Pada 2014 Dollah dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan setelah membimbing PDRM menjuarai Liga Premier.

Selepas dua tahun di FAM, beliau kemudiannya ke Perlis dan kembali ke Sri Pahang bergilir-gilir memainkan peranan sebagai jurulatih dan pengurus pasukan sehingga sekarang.

Kepimpinan FAM secara tradisinya dibarisi oleh tokoh korporat, ahli perniagaan dan ahli politik. Justeru hadirnya bekas pemain untuk merebut jawatan pastinya menjanjikan kelainan dan memberi nilai tambah kepada badan induk itu sendiri menerusi pengalaman luas yang dibawa mereka.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!