Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Kongres badan induk itu yang akan berlangsung bulan depan.
Menariknya, Megat D Shahriman menyatakan sekiranya dipilih menduduki kerusi panas itu, beliau bersedia untuk bekerja tanpa gaji.
“Undi saya, saya tak ambil gaji satu sen pun,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Kuala Lumpur Golf and Country Club pada Jumaat.
“FAM sebuah badan induk yang besar, kalau ramai masuk bertanding menarik juga. Sehari sebelum tarikh tutup pencalonan mungkin saya akan hantar pencalonan. Kalau ada peluang saya bersedia,” tambahnya lagi.
Jelas Megat D Shahriman, keinginannya untuk menerajui FAM tidak lain kerana cinta dan keghairahannya terhadap sukan termasuklah bolasepak, dengan hasrat mahu mengangkat semula martabat sukan ini ke aras sepatutnya dan memulihkan sebarang ketirisan.
“Benda pertama yang perlu saya lihat (jika dipilih sebagai presiden) ialah liabiliti FAM, kewangan. Perkara ini perlu untuk membolehkan ahli gabungan tahu secara telus dana dimiliki dan ke mana ia disalurkan.
“Jika ada ketirisan saya perlu telus sama ada perlu membuat laporan polis atau melakukan audit dalaman, paling penting tidak ada apa hendak disembunyikan.
“Kita akan berbincang (antara ahli gabungan negeri) terutama persatuan yang nazak, apa anda mahu. Segala ketirisan perlu dilihat semula agar dana kembali kepada ahli gabungan.
“Kalau dana tidak pergi ke ahli gabungan apa gunanya. Saya bersedia bekerjasama dengan sesiapa sekali pun dan tidak terikat dengan mana-mana pihak ketika ini. Semua pekerjaan harus dilakukan dengan telus,” katanya.
Baca juga: Henti Bayar Gaji Kepada Presiden FAM
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Presiden FAM sekarang, Tan Sri Hamidin Mohd Amin menerima gaji bulanan mencecah RM90,000 sebulan dengan pelbagai faedah lain.
Hamidin tidak mengiakan mahupun menafikan laporan tersebut.
“Soal gaji adalah personal, takkan itupun nak tahu? Berapa jumlah saya dapat, itu tak boleh dedah. Ia antara saya dengan FAM. Saya dilantik dengan beberapa faedah yang dipersetujui,” kata Hamidin ketika itu.
Mengikut statut FAM, mana-mana individu boleh bertanding merebut jawatan dengan syarat mereka mendapat pencalonan mencukupi daripada ahli gabungan; dan bagi jawatan presiden, enam pencalonan diperlukan.