HomeSukanDollah Salleh Mahu Manfaat Pengalaman Demi Harimau Malaya

Dollah Salleh Mahu Manfaat Pengalaman Demi Harimau Malaya

Dato’ Dollah Salleh mahu memanfaatkan pengalaman luasnya untuk membantu meningkatkan prestasi Harimau Malaya, sekiranya terpilih sebagai Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada kongres yang akan berlangsung 15 Februari depan.

Dollah berpendapat sebagai seorang yang berkecimpung dalam arena bolasepak selama lebih empat dekad dengan pelbagai peranan, beliau mempunyai rencah diperlukan untuk menduduki jawatan itu.

Baca Juga: Dollah Salleh Perkenalkan Kopi Pablo Dollah

Tambah Pengurus Sri Pahang FC itu lagi, individu sepertinya perlu ada sebagai watak penting dalam FAM kerana dia lebih memahami keperluan seseorang pemain.

Justeru itu, Dollah mengharapkan pertimbangan dan penilaian wajar daripada ahli gabungan untuk mengundinya tanpa sebarang sikap pilih bulu.

“Saya tidak akan simpan pengalaman yang saya ada, kalau pihak persatuan atau barisan kejurulatihan memerlukan apa-apa daripada pengalaman saya, sudah pasti saya akan memberikan khidmat terbaik buat mereka.

“Pilihan mereka (ahli gabungan) perlulah mereka yang boleh membantu FAM dan bukannya atas dasar kawan. Apabila mereka sudah menduduki jawatan itu, mereka perlu memastikan mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu meningkatkan prestasi Harimau Malaya,” ujarnya kepada Astro Arena.

Dollah Salleh merupakan nama yang tidak perlu pengenalan dalam arena bolasepak tempatan. Sebagai pemain, beliau pernah beraksi untuk Johor, Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan serta pasukan kebangsaan selama lebih 10 tahun.

Manakala sebagai jurulatih, beliau bermula dengan membawa MBBJ FC mencipta sejarah sebagai kelab pertama menjulang Piala Malaysia pada 2003.

Beliau kemudian meneruskan sentuhan cemerlang dengan membimbing Selangor muncul juara treble Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2005, sehingga mendapat gelaran jurulatih magis.

Setelah meninggalkan Selangor pada 2008, Dollah membimbing Shahzan Muda, dan seterusnya Pahang selama empat musim sebelum memacu PDRM menjuarai Liga Premier pada 2014 sekaligus dipancing sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Selepas dua tahun di FAM, beliau kemudiannya ke Perlis dan kembali ke Sri Pahang bergilir-gilir memainkan peranan sebagai jurulatih dan pengurus pasukan sehingga sekarang.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!