Bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Dollah Salleh, melancarkan produk kopi miliknya sendiri Kopi Pablo Dollah di Summit USJ pada Sabtu.
Pengurus pasukan Sri Pahang itu berkata Kopi Pablo Dollah merupakan 100 peratus buatan tempatan untuk pasaran dalam negara. Dengan tujuan memberi pengalaman berbeza dengan citarasa tersendiri.
Usaha mengeluarkan kopi tersebut dibuat dalam masa singkat menerusi idea dan perbincangan bersama dua rakannya.
Baca juga: Silap Pilih Team, Atau Berada di Bawah Jurulatih Yang Salah?
Menceritakan kenapa nama Pablo Dollah dipilih, beliau berkata nama tersebut diilhamkan melalui insiden lucu berpunca daripada kesilapan teknikal di Singapura hampir sedekad lalu.
Ketika itu beliau membimbing skuad Harimau Malaya di Piala AFF 2014.
“Kalau tak silap saya ketika itu perlawanan antara Malaysia dan Myanmar, sebelum perlawanan bermula senarai nama terpapar di skrin.
“Keluar nama saya Pablo Dollah, jurulatih Malaysia. Dari mana datangnya nama Pablo itu saya pun tak tahu, ia insiden lucu tetapi nama itu melekat dengan saya.
“Ia seperti menjadi identiti saya, sebab sehingga ke hari ini ramai yang panggil saya dengan nama berkenaan.
“Walaupun nama itu mungkin ada kaitan dengan Pablo (Escobar) dari Colombia, tapi ini (Pablo Dollah Salleh) unik, ada perbezaan, saya harap nama ini bawa tuah,” ujar beliau kepada pemberita.
Bukan Petanda Mahu Bersara
Dollah Salleh bagaimanapun menolak tanggapan perniagaan yang dimulakan adalah petanda beliau akan bersara daripada dunia bola sepak
“Bola sepak ibarat darah daging saya, rasa agak sukar nak meninggalkan dunia bola sepak. Tapi mana kita tahu, insya-Allah kalau Kopi Pablo Dollah ini berjaya ada kemungkinan juga, jadi kita tunggu dan lihat nanti,” katanya.
Turut hadir dalam majlis pelancaran produk berkenaan termasuklah bekas rakan-rakan sepasukannya seperti Malek Rahman, Mubin Mokhtar, Azman Adnan, Datuk Zainal Abidin Hassan serta Fandi Ahmad yang juga ketua jurulatih Sri Pahang.
Sebagai rekod, ini bukan pertama kali Dollah Salleh menceburi perniagaan. Beliau pernah gagal 10 kali dalam perniagaan yang diusahakan sebelum ini.