Sudah hampir dua bulan berlalu, penyokong Sri Pahang(SPFC) tertanya-tanya bilakah Malaysian Football League (MFL) akan menetapkan tarikh baru perlawanan tertunda menentang Kuching City FC.
Perlawanan pada waktu petang di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada 2 November itu, telah berlangsung selama 30 minit dengan Kuching City berjaya merebut pendahuluan menerusi Yuki Tanigawa pada minit ke-14.
Bagaimanapun perlawanan dihentikan hampir satu jam gara-gara hujan lebat dan padang ditakungi air. Berbanding melewatkan restart perlawanan ke waktu malam, komisioner perlawanan memutuskan untuk menunda perlawanan ke tarikh lain.
Sri Pahang kemudiannya membuat pengumuman supaya keratan tiket perlawanan itu disimpan untuk digunakan semula.
“Kepada penyokong-penyokong setia yang hadir ke perlawanan pada 2 November di Stadium MP Temerloh, kami ingin ucapkan setinggi penghargaan atas semangat luar biasa yang ditunjukkan. Kehadiran anda memberi inspirasi besar kepada Sri Pahang FC.
“Sila simpan keratan tiket anda dengan rapi, kerana tiket tersebut akan membolehkan anda hadir ke perlawanan yang akan dijadualkan semula oleh MFL nanti. Sokongan anda amat kami hargai, dan kami berbesar hati untuk terus melihat kehadiran anda pada perlawanan seterusnya,” menurut kenyataan di laman rasmi SPFC.

Namun, meskipun lapan minggu berlalu, tiada khabar berita akan tarikh baru perlawanan yang berbaki 60 minit untuk diteruskan itu sedangkan jadual bulan Januari juga sudah diedarkan kepada pasukan yang bertanding.
Baca juga: Fandi Ahmad Kecewa Tewas Cara Tidak Adil Kepada JDT
Pelbagai reaksi penyokong
“Kalau game belum berlangsung bolehlah nak tunda 3-4 bulan sekalipun, tapi ini game dah main 30 minit kot. Ada 60 minit nak kena sambung, MFL nak suruh tunggu sampai bila?” komen penyokong Tok Gajah.
“Sebenarnya perlawanan akan diadakan semula ke tidak? Ke dah lambung syiling dan putuskan pemenang?” ujar seorang lagi penyokong.
“Yang koi tak faham, punyalah banyak rehat jadual Liga Malaysia, tak boleh ke dia selit langsungkan game tertunda nih? Sekarang ni sehingga 10 Januari pun takde game, dari SPFC atur main friendly bukankah lebih baik main baki 60 minit lawan Kuching. Betul-betul tak reti susun jadual, nanti bila team sibuk banyak game, masa tu lah MFL nak selit satu game nih,” cadang seorang penyokong.
“Koi rasa MFL sendiri sudah lupa ada perlawanan tertunda belum dihabiskan. Maklumlah jadual Liga Super cukup padat dan cukup rumit untuk disusun. Jadual yang sepatutnya pun keluar sekerat-kerat, ini kan pula perlawanan yang berlangsung sekerat memang peninglah dia nak jadualkan semula,” tambah penyokong yang lain.
“MFL serba salah kot nak jadualkan semula, bayangkan Kuching kena terbang datang balik ke semenanjung untuk habiskan 60 minit,” luah seorang lagi.
“Kadang tak faham apa logik tunda berbulan-bulan perlawanan yang dah berlangsung sekerat jalan nih. Paling tidakpun, tunggu dan sambung malam tu jugak benda dah setel lama. Tak perlulah Kuching terbang pulang dan datang balik. Ini kalau ikutkan siapa yang tanggung kos, SPFC, Kuching atau MFL?,” soal penyokong dengan nama Cicit Tok Gajah.
“Bayangkan dah main 30 minit dengan kesebelasan nih, kemudian perlawanan ditunda. Team main banyak perlawanan lain Liga Super, Piala Malaysia, mungkin berlaku kecederaan pemain sebagainya, tak pasal-pasal kena sambung 60 minit dengan kesebelasan yang lain?” antara soalan lain yang dilontarkan.