Bintang Chelsea, Marc Cucurella campak kasutnya ke dalam tong sampah setelah dua kali tergelincir dan menghadiahkan gol kepada Spurs.
Gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea tampil dengan kebangkitan yang menakjubkan ketika menewaskan Tottenham Hotspurs lewat malam Ahad.
Skuad Enzo Maresca bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mencatat kemenangan 4-3 ke atas seteru London itu. Kemenangan keempat berturut-turut yang mengukuhkan mereka di kedudukan kedua liga.
Baca juga: Kisah Sebenar Bidaan £40 juta + £1 Arsenal Untuk Luis Suarez
Begitupun, insiden yang membawa kepada dua gol Spurs, rancak diperkatakan di media sosial. Spurs menjaringkan dua gol dalam 10 minit pertama, kedua-duanya gara-gara insiden pertahanan Chelsea, Marc Cucurella tergelincir.
Minit ke-5, Cucurella tergelincir ketika menerima bola dari Levi Colwill, memberi peluang kepada Brennan Johnson untuk mencuri bola dan melakukan hantaran yang disudahkan Dominic Solanke.
Manakala minit ke-10, dia sekali lagi tergelincir ketika cuba membuat clearance setelah menerima hantaran Enzo Fernandez. Ia membawa kepada terhasilnya gol kedua Spurs jaringan Dejan Kulusevski.
Enggan terus membuat kesilapan sama dan menjadi bahan jenaka, Cucurella kemudian keluar untuk menukar kasutnya. Selepas itu dia berubah menjadi ‘monster’ dengan aksi-aksi lebih meyakinkan malah segera melakukan satu assist, untuk gol pertama Chelsea oleh Sancho pada minit ke-17.
Manakala dalam satu posting di instagram, Cucurella memuatnaik gambar kasut yang bernasib malang itu telah dibuang ke dalam tong sampah dengan caption ‘sorry blues’. Bagaimanapun posting itu kemudiannya telah dipadam.
Ia turut mengundang kritikan daripada Jamie Carragher, yang membuat ulasan di Sky Sports: “Kenapa nak salahkan kasut sedangkan salah dia sendiri. Macam budak sekolah, memalukan! Dia tergelincir dan kemudian tergelincir lagi, lepas tu dia angkat bahu, acah-acah bukan salah dia. Dia seolah nak salahkan kitman, apesal kau bagi aku pakai kasut ni? Takkan dia tak warm-up dulu?”
Maresca: Mereka tidak akan tergelincir seperti Cucurella
Dalam pada itu, Maresca sendiri cuba untuk berjenaka mengenai insiden Cucurella tergelincir ketika menjawab soalan wartawan mengenai peluang The Blues mencabar kejuaraan EPL.
“Tidak, saya tidak rasa kami sudah bersedia. Kami masih lagi jauh jika dibandingkan dengan Liverpool, Manchester City dan Arsenal. Pasukan-pasukan ini pastinya tidak akan tergelincir sepertimana Cucurella. Fokus ketika ini adalah meningkatkan prestasi pasukan setiap hari,” kata Maresca.