Pemain boling cilik negara, Imran Azmi menunjukkan karakter dan mentaliti lebih matang dari usia selepas menjuarai kejohanan antarabangsa pertamanya.
Umur baru 12 tahun tetapi mentaliti top class. Begitulah boleh diungkapkan mengenai pemain boling cilik negara, Muhammad Imran Azmi.
Dia yang ditemui pemberita selepas muncul juara Kejohanan Antarabangsa Junior Storm All Star kategori lelaki B-12 sudah ada satu sasaran yang jelas mengenai masa depan dan menunjukkan mentaliti jauh lebih matang dari usia.
“Sasaran utama saya adalah mewakili Malaysia dan mengharumkan nama negara seperti idola saya, Tun Hakim (Tun Hasnul Azam).
“Gaya dia beraksi sangat hebat dan saya berharap dapat terus meningkatkan prestasi dan menyertai pasukan kebangsaan dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang,” kata Imran.
Baca juga: Tragedi Jakarta 1997, Skuad Kebangsaan Dibubar
Baca juga: Penjaga Gol Sri Pahang Graduan Cemerlang UiTM
Terdahulu, Imran mencuri tumpuan di Sunway Mega Lanes, apabila menampilkan balingan konsisten untuk mengalahkan wakil Singapura, Lyndon Lin 185-1m76.
“Ini kemenangan pertama saya di peringkat antarabangsa dan dapat menewaskan lawan dari Singapura dan Korea Selatan membuatkan itu lebih istimewa buat diri saya,” tambahnya.
Untuk rekod, kategori B-12 mula diadakan pada 2006 dan menyaksikan atlet negara seperti Rafiq Ismail dan Natasha Roslan antara yang berjaya dilahirkan.
Mereka bukan sahaja menempa nama sebagai atlet Malaysia tetapi turut berjaya bergelar juara Asia dan dunia. Rafiq bergelar juara dunia pada 2018 manakala Natasha pula melakukannya pada 2023.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan dengan mentaliti seperti ini, Imran Azmi adalah the next world champion – juara dunia dalam pembikinan.