HomeSukanEjen Korea Dakwa KDN FC Tak Bayar Gaji dan Menipu, Sudah 6...

Ejen Korea Dakwa KDN FC Tak Bayar Gaji dan Menipu, Sudah 6 Bulan Pemain Tiada Visa

Ejen kepada beberapa pemain Kelantan Darul Naim (KDN FC), Myeongho Jeong hilang sabar dengan kelab itu berikutan kegagalan mereka menyelesaikan tunggakan gaji dan memperbaharui visa pemain import di bawah seliaannya yang sudah tamat tempoh hampir enam bulan.

Dalam perkongsian Myeongho yang juga Ketua Pegawai Eksekutif JMH Sports Agency itu, dia menyatakan KDN FC juga cuba mengelak dan memberi janji palsu setiap kali diajukan soalan mengenai gaji dan visa, dan meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) campur tangan untuk menyelesaikan kemelut ini.

“Persatuan Bolasepak Malaysia, tolong bantu pemain-pemain ini. Mereka kini tinggal di Malaysia sebagai pendatang haram kerana sudah 6 bulan mereka tidak mendapat visa, dan ia turut menyebabkan mereka tidak dapat menaiki penerbangan ke mana-mana untuk hari perlawanan. FAM dan media perlu membantu pemain-pemain ini, kelab ini menipu setiap hari dan tidak memberikan visa seperti dijanjikan.

“Saya pernah bekerja dengan banyak kelab dari Asia, dan saya rasa Liga Super Malaysia adalah paling teruk. Badan induk perlu menyiasat kelab ini atas salah laku seperti saya nyatakan, tunggakan gaji dan visa pemain, adakah para penyokong tahu perkara ini? Pemain dan jurulatih dari Korea tidak boleh terbang ke mana-mana, mereka ketika ini berstatus pendatang haram. Adakah semua ini masuk akal?

“Saya bersedia dedahkan segalanya, saya berharap media akan dedahkan perkara ini dan pastikan FAM siasat kelab ini. Kasihan pemain, bersimpatilah terhadap nasib mereka. Para pemain, jurulatih dan saya sendiri sudah bersabar begitu lama, tetapi kesabaran itu sudah sampai kemuncaknya. FAM tolong masuk campur, bantu selesaikan isu ini segera. Dapatkan tunggakan gaji mereka dan visa kepada mereka.

“Pemilik kelab sentiasa cuba mengelak, tak pernah jawab panggilan telefon, sentiasa menipu kakitangan kelab, adakah ini standard kelab Liga Super Malaysia? Saya, jurulatih dan pemain-pemain saya bawa dari Korea, bukan sahaja ditipu, tetapi dipergunakan kelab. Kami semua sangat geram ketika ini. Pasukan sampah seperti ini sentiasa ada dalam Liga Super Malaysia. Banyak yang saya belajar dalam tempoh 3 tahun kenapa bolasepak Malaysia tidak pernah maju.

“Ini adalah kelab penuh penipuan, pembohongan dan mempersenda pemain. Sesungguhnya tiada seorang pun pemain atau kakitangan gembira di dalam kelab ini. Tolonglah FAM, tolong dengar luahan kami. Sekarang ini, nak balik ke Korea pun tak dapat.”

Pendedahan yang sungguh mengejutkan daripada Myeongho, satu pendedahan yang memalukan dan mengaibkan. Apakah agaknya FAM atau badan pengelola liga, Malaysian Football League akan bertindak segera atau bersikap tutup mata?

Untuk rekod, empat pemain di bawah Myeongho adalah Kim Ri Gwan, Bae Kyeong Hwan, Goo Ah Woi dan Byu Ju Jung manakala ketua jurulatih pula adalah Park Jae Hong.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!