Bekas tonggak tengah Arsenal, Mathieu Flamini dalam diam membina legasi dan reputasi sebagai antara bekas pemain bolasepak terkaya di dunia dengan kekayaan bernilai berbilion pound.
Antara wajah kesayangan Arsene Wenger, bekas pemain berusia 41 tahun itu yang dikenali dengan permainan keras dan agresif itu, kini menguruskan sebuah syarikat biokimia GFBiochemicals dilaporkan bernilai hampir £20 bilion (kira-kira RM114 bilion).
Ia dianggarkan 40 kali ganda lebih besar daripada nilai kekayaan bekas pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo yang berusia 40 tahun.
Flamini membuktikan kepada semua, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dia menegaskan bahawa kunci kepada kejayaannya yang luar biasa dari padang bola ke dunia korporat terletak pada tiga perkara iaitu semangat, dedikasi dan daya tahan.
Bercakap kepada The Times, Flamini menjelaskan: “Ketika saya berusia lima tahun, saya katakan mahu menjadi pemain bola sepak, orang kata, betulkan kepala anda. Ia mustahil.
“Ia berkisar mengenai semangat dan dedikasi. Ia adalah ketahanan, tidak kira sama ada anda seorang pemain bola sepak yang beraksi di hadapan berjuta-juta orang atau seorang usahawan atau CEO syarikat multinasional yang memimpin 1,000 orang.
Flamini pernah beraksi bersama Arsenal, AC Milan, Crystal Palace, dan Getafe, namun pada tahun 2008 ketika masih berada di puncak prestasi, dia mengasaskan GFBiochemicals iaitu sebuah syarikat yang memberi tumpuan kepada penciptaan alternatif mampan kepada produk berasaskan fosil.
Kini, selepas bertahun-tahun mengusahakan perniagaan itu, Flamini menjadi suara utama dalam inovasi iklim dan tanggungjawab alam sekitar serta salah seorang atlet terkaya di dunia.
“Ketika di sekolah, saya benci bercakap dalam bahasa Inggeris. Saya akan bersembunyi apabila diminta bercakap dalam bahasa itu.
“Sekarang, mungkin 90 peratus masa saya bercakap dalam bahasa Inggeris. Saya juga amat lemah dalam subjek kimia dan sekarang saya menguruskan sebuah syarikat biokimia. Saya suka cabaran,” katanya. – AGENSI