Ketua jurulatih Pahang Rangers, Luis Fonseca meletak harapan tinggi dapat mengakhiri badi kemenangan ke atas JDT, apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi separuh akhir Malaysia Futsal Cup pada Sabtu.
Pahang Rangers pernah membelasah JDT 7-3 dalam aksi final MPFL, dan kemudiannya menewaskan Harimau Selatan menerusi tendangan penalti untuk menjulang Malaysia Futsal Cup seterusnya melengkapkan kejuaraan berganda pada tahun 2023. Ketika itu dibawah kendalian Gerard Casas.
Malangnya ia menjadi kemenangan terakhir mereka ke atas JDT, selepas itu Pahang Rangers tewas semua empat pertemuan dalam liga – semuanya dengan jaringan tipis iaitu 3-4, 5-6, 3-4 dan terbaru 6-7 pada bulan Jun lalu.
Bagi Fonseca, dia percaya barisan pemainnya sudah belajar dari kesilapan dan cukup bersedia untuk merubah keputusan perlawanan pada kali ini.
“Kita turun di semifinal dengan semangat tinggi, dengan persiapan yang cukup baik. Ketika aksi suku akhir, kita bermain dengan menggunakan sepenuhnya pemain tempatan, dan mereka kini cukup bermotivasi tinggi.
“Pemain-pemain import (Matheus Moura dan Felipe de Souza) juga sudah kembali, dan bersedia untuk membantu pasukan mara ke final. Kini kita ada dua aksi semifinal yang sukar. Kita sentiasa berikan mereka tentangan sengit dan tewas kedua-dua aksi liga kepada dengan jaringan tipis. Jadi, kita akan melakukan segala yg terbaik untuk mengatasi mereka kali ini.”
Tambahnya : “Kita bekerja keras untuk elak kesilapan di pertahanan, serta tidak boleh memberikan banyak ruang tanpa bola kepada mereka untuk elak apa yang telah berlaku ketika perlawanan liga berulang, di mana tiga kesilapan dari pihak kita menjadi punca kita tewas.
“Kita perlu ingat ada 80 minit perlu diharungi, jadi kita perlu bermain baik di Sukpa dan di sana (Pasir Gudang) untuk terus kekal dalam permainan. Dulu kita pernah belasah mereka, kini jika menang ia dipanggil kejutan. Jadi saya harap pasukan akan bersedia sepenuhnya menjelang perlawanan dan dapat mencipta kejutan.
“Kita sudah dua musim tidak tewaskan JDT, ia pastinya satu hadiah terbaik buat penyokong jika dapat menewaskan mereka dalam aksi terakhir di laman sendiri musim ini.”