Jurulatih Indonesia, Patrick Kluivert mengakui cukup kecewa dan geram dengan ketidakmampuan pasukannya menyudahkan peluang jaringan tatkala kekalahan 2-3 kepada Arab Saudi pada Rabu menyaksikan impian Piala Dunia hampir berkubur.
Kluivert, penjaring prolifik ketika zaman bermainnya bersama Ajax Amsterdam, Barcelona dan pasukan Belanda, menyaksikan pasukannya gagal menjaringkan gol menerusi permainan terbuka menentang tuan rumah di Jeddah – dengan kedua-dua gol Indonesia hadir melalui sepakan penalti oleh Kevin Diks.
Sebaliknya, Arab Saudi lebih tajam di depan gawang. Gol Saleh Abu Al-Shamat serta dua jaringan Feras Al-Buraikan, mengubah perlawanan memihak kepada tuan rumah dan meninggalkan pasukan bimbingan Herve Renard hampir mengesahkan kemaraan ke Piala Dunia tahun depan di Amerika Utara.
“Itulah perkara yang akan kami usahakan, tetapi ia sangat sukar, kami tidak boleh memperbaikinya dan itu hakikat,” kata Kluivert ketika ditanya mengenai perbezaan kecil antara kedua-dua pasukan dalam metrik jangkaan gol selepas perlawanan.
“Ada kalanya saya rasa seperti mahu menumbuk muka sendiri kerana kesal ia sesuatu yang tidak boleh kami latih dengan baik.
“Kami tidak gembira, kami sangat kecewa tetapi dengan keputusan 3-2 kami tetap melangkah keluar padang ini dengan kepala tegak kerana dalam tiga hari lagi kami ada satu lagi perlawanan menanti. Kami perlu kosongkan fikiran dan fokus untuk aksi baik menentang Iraq.”
Skuad Kluivert akan menentang Iraq yang dikendalikan Graham Arnold pada Sabtu, dengan misi wajib menang untuk mengekalkan harapan layak ke Piala Dunia pertama Indonesia sejak merdeka daripada Belanda pada 1949.
Pemenang kumpulan tiga pasukan ini akan menyertai Jepun, Korea Selatan, Australia, Iran, Uzbekistan dan Jordan sebagai salah satu wakil Asia yang layak secara automatik ke pusingan akhir, manakala naib juara perlu melalui satu lagi pusingan kelayakan.
Keputusan membenarkan Arab Saudi menjadi tuan rumah bagi semua perlawanan Kumpulan B telah menimbulkan persoalan mengenai keadilan langkah itu, namun Kluivert enggan menjadikan isu tersebut sebagai alasan kekalahan pasukannya.
Sudah tentu mereka ada sedikit kelebihan bermain di tempat sendiri, itu hakikat,” katanya. “Tetapi saya sangat bangga dan gembira dengan prestasi pasukan saya.
“Selepas ketinggalan 3-1 memang sukar kerana kami juga berdepan pasukan yang bagus. Kita tidak boleh lupa bahawa Arab Saudi mempunyai pasukan yang baik. Kita dapat lihat pemain-pemain mereka, mereka sangat berbakat, sukar dikawal tetapi kami tetap perlu perbaiki kelemahan.”



