Selepas Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), giliran Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) pula digantung keahlian mereka oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Keputusan itu dibuat setelah Jawatankuasa Pertikaian Dalaman Ahli FAM meneliti aduan terhadap tatacara pengendalian Kongres Tahunan KAFA Kali ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA Penggal 2024-2028 yang berlangsung pada Julai lalu.
“Jawatankuasa Eksekutif FAM secara majoriti menerusi keputusan secara bertulis telah bersetuju dengan cadangan tindakan yang telah dibentangkan untuk menggantung keahlian KAFA.
“Keputusan untuk menggantung keahlian KAFA ini berdasarkan Artikel 17 Statut FAM yang dengan jelas menyatakan bahawa Jawatankuasa Eksekutif FAM boleh menggantung keahlian mana-mana ahli,” menurut kenyataan dalam surat yang diedarkan FAM kepada KAFA.
Apa Yang Berlaku?
Bertindak berdasarkan aduan yang diterima, Jawatankuasa Pertikaian Dalaman Ahli FAM yang bermesyuarat pada 19 Disember lalu memutuskan Kongres Tahunan KAFA Kali ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA Penggal 2024-2028 adalah TIDAK SAH, disebabkan:
Pertama: Persatuan Bolasepak Pasir Puteh tidak dibenarkan hadir ke Kongres KAFA ke-65 dan tidak terlibat dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA penggal 2024-2028 sedangkan mereka merupakan ahli gabungan KAFA yang sah.
Kedua: Persatuan Bolasepak Jajahan Jeli (Baru) tidak dijemput ke Kongres KAFA ke-65 dan tidak terlibat dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA penggal 2024-2028 sedangkan mereka merupakan ahli gabungan KAFA yang sah.
Ketiga: Prosedur dan tatacara pengendalian kongres berkenaan tidak dibuat dengan teratur dan mengikut prosedur-prosedur yang ditetapkan di mana;
i) Notis kongres yang dikeluarkan kepada ahli-ahli KAFA tidak ditandatangani oleh Setiausaha Agung
ii) Penyata kewangan KAFA adalah meragukan apabila terdapat dua dokumen yang berbeza ditandatangani oleh juruaudit dan juruakaun yang berlainan, dan penyata kewangan tersebut telah dibentangkan selepas selesai agenda pemilihan.
Dengan penggantungan ini, KAFA dan Perlis FA yang digantung pada awal bulan Disember tempoh hari, tidak boleh terlibat di dalam kongres tahunan FAM yang dijadual berlangsung pada bulan Februari nanti.
Malah penggantungan KAFA turut menimbulkan tanda soal terhadap penyertaan pasukan di bawah naungan mereka dalam saingan Liga Malaysia atau Liga SemiPro terutamanya Kelantan Red Warriors yang baru dilancarkan dan dikatakan akan mengambil bahagian dalam Liga A1 musim depan.
Satu lagi persoalan yang timbul, meskipun penggantungan keahlian PFA dan KAFA baru dikuatkuasakan bulan ini atas alasan yang dinyatakan, ura-ura bahawa dua persatuan itu akan digantung sebenarnya telah bertiup kencang sejak beberapa bulan lepas lagi.

Justeru itu, apakah benar PFA digantung kerana isu tunggakan gaji Matt Holland, manakala KAFA pula kerana tatacara pengendalian kongres? Atau ada agenda tersembunyi di sebaliknya.