HomeSukan"Hentikan Pembayaran Gaji Kepada Presiden Baru FAM"

“Hentikan Pembayaran Gaji Kepada Presiden Baru FAM”

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disarankan agar menghentikan pembayaran gaji kepada Presiden baharu yang akan dilantik menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin.

Mana-mana individu yang mengisi kerusi panas terbabit, sepatutnya bekerja secara sukarela tetapi boleh menikmati faedah tertentu yang dipersetujui, demikian menurut pemerhati bolasepak, Mohd Sadek Mustafa.

Menurut Sadek kepada BH Sukan, bukan hanya FAM, tetapi presiden mana-mana persatuan sukan sepatutnya tidak menerima gaji sebagai menggambarkan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab.

Sadek menambah bahawa, presiden yang bergaji akan berada pada zon selesa dan menjadi punca utama tidak mahu melepaskan jawatan yang dipegang.

“Apabila presiden itu ada gaji, mereka akan rasai sesuatu nikmat luar biasa. Jadi apabila dapat (gaji), mereka akan rasa mahu terus memegangnya dan jadikan jawatan itu sebagai kedudukan hakiki.

Baca juga: Ketahui Latar Belakang Siapa Hamidin

“Ini tidak baik untuk persatuan yang bergantung kepada penajaan ataupun dana kerajaan. Seharusnya mereka tidak menerima gaji kecuali kakitangan yang memang ada kaitan dengan tanggungjawab yang mereka lakukan.

“Maksudnya, kalau FAM ingin teruskan ataupun hentikan (pembayaran gaji), itu bergantung kepada budi bicara EXCO FAM.

“Perkara ini mesti ditetapkan oleh presiden baharu nanti dan ahli jawatankuasanya sama ada untuk diteruskan atau dihentikan, atau mungkin ada faedah lain contohnya dalam bentuk elaun,” kata Sadek.

Difahamkan Hamidin adalah Presiden FAM pertama menerima gaji bulanan berdasarkan jawatannya sebagai Presiden Eksekutif. Media tempatan pada April lalu melaporkan gaji Hamidin mencecah RM90,000 sebulan dengan pelbagai faedah lain.

Hamidin tidak mengiakan mahupun menafikan laporan tersebut.

“Soal gaji adalah personal, takkan itupun nak tahu? Berapa jumlah saya dapat, itu tak boleh dedah. Ia antara saya dengan FAM. Saya dilantik dengan beberapa faedah yang dipersetujui,” kata Hamidin ketika itu.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!