HomeSukan"Idea Menipu FIFA Bukan Datang Daripada FAM"

“Idea Menipu FIFA Bukan Datang Daripada FAM”

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak bersalah dalam isu pemalsuan dokumen pemain warisan yang sedang hangat diperkatakan, demikian menurut bekas Menteri, Zaid Ibrahim.

Dalam episod terbaru The Zaid Ibrahim Podcast bersama moderator Shahbudin Husin, Zaid berkata FAM hanyalah ‘budak yang disuruh’ dan sekadar mengikut arahan.

Beliau percaya ada pihak lain yang memiliki kuasa lebih tinggi daripada FAM seperti individu berpengaruh terlibat dalam isu berkenaan.

“Apa yang berlaku dalam bola sepak kita bukan silap FAM. FAM tu hanya budak yang disuruh. Siapa yang salah bagi saya orang yang tinggi daripada FAM. Macam-macamlah, boleh jadi menteri, boleh jadi istana, boleh jadi semualah,” katanya.

Beliau yang juga bekas penasihat undang-undang FAM berkata tindakan menuding jari kepada FAM hanyalah cara mudah untuk menutup isu berkenaan, lebih-lebih lagi apabila kuasa tidak sepenuhnya dimiliki badan induk bolasepak itu.

“Malaysia ni tidak ada benda yang telus, semua benda palsu,” katanya.

Dia turut menzahirkan kekecewaan terhadap budaya tidak telus dan sikap lepas tangan yang menurutnya sudah lama menebal dalam sistem pentadbiran negara.

“Idea untuk menipu FIFA bukan datang daripada FAM. Orang yang nak menipu FIFA adalah orang yang merasakan dirinya lebih kuat dari FIFA,” katanya.

Zaid, yang pernah memiliki pasukan bola sepak swasta menyifatkan skandal tersebut sebagai ‘episod hitam’ bola sepak negara dan tidak sepatutnya berlaku.

Selain itu, dia tidak menolak kemungkinan laporan kepada FIFA dibuat oleh negara Asean sendiri.

Baca Juga: Gabriel Palmero Berjuang Bersihkan Nama Yang Tercemar

Sebelum ini FAM dan tujuh pemain naturalisasi kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) yang berkaitan dengan pemalsuan dokumen.

Pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error:Content is protected !!