Pemenang kasut emas Liga Super dua kali, Ifedayo Olusegun semakin hampir untuk memperkuatkan Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) bagi saingan musim baru Liga Malaysia.
Perkara itu disahkan oleh CEO kelab itu, Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah, yang menyatakan surat tawaran sudahpun diberikan kepada pemain berasal dari Nigeria itu yang beraksi dengan PDRM FC pada musim lalu.
Ifedayo atau lebih dikenali dengan gelaran King Dayo, merupakan antara import terbaik pernah disaksikan dalam kancah Liga Malaysia. Pada 2021, dia mencipta rekod jaringan peribadi terbanyak semusim (26 gol) ketika memenangi kasut emas bersama Selangor.
Selain Ifedayo Olusegun, KDNFC juga akan merekrut import dari negara seperti Nigeria dan Bulgaria. Mereka dijangka tiba di Kota Bharu pada 25 atau 26 Jun ini bagi menjalani pemeriksaan kesihatan serta sesi penilaian teknikal.
“Mereka diberikan surat tawaran dan kontrak, tetapi untuk jawapan sama ada mereka bakal bersama KDN FC atau tidak, kena tunggu dan tanya tuan badan sendiri,” kata Irwan Rizal.
Mengenai bajet pasukan bagi menghadapi musim baru, Irwan Rizal berkata mereka memperuntukkan sebanyak RM6 juta merangkumi kos operasi pasukan termasuk gaji pemain import, keperluan teknikal serta aspek pengurusan kelab.
Ujarnya, jumlah itu merupakan had maksimum perbelanjaan kelab dan akan digunakan secara menyeluruh tanpa melebihi siling yang ditetapkan.
“Kita tak boleh lebih RM6 juta. Itu termasuk semua iaitu gaji pemain import, kos latihan, beli peralatan, elektrik atau fotostat, semua sekali. Tak boleh lebih walau lima sen pun,” katanya.
Sementara itu, Irwan Rizal turut memaklumkan kelab itu sedang menunggu maklumbalas Malaysian Football League mengenai cadangan penjenamaan semula pasukan – melibatkan perubahan logo dan slogan rasmi.
Baca Juga : MFL Sahkan Tiada Masalah Dengan Lesen KDNFC
“Setakat hari ini, nama dan identiti masih kekal Kelantan Darul Naim FC. Kami dah kemuka cadangan, tapi tak mahu mendahului. Apabila semuanya selesai dan diluluskan, kami akan umum,” katanya.
Tambah beliau, slogan popular “Gomo Kelate Gomo” akan terus dikekalkan sebagai semangat simbolik penyokong Kelantan.