Mungkinkah sudah tiada lagi kelibat Bergson da Silva dalam saingan Liga Malaysia musim baru? Persoalan itu timbul setelah penyerang prolifik itu dikatakan menarik minat kelab negara kelahirannya Brazil, Sport Club do Recife.
Menerusi laporan media tempatan Brazil, Sport Club do Recife sedang memantau secara dekat pemain berusia 34 tahun itu yang tampil klinikal sejak bermain di Liga Malaysia pada 2021.
Dia telah menjaringkan total 158 gol bersama JDT (semua pertandingan) dalam tempoh itu, sekaligus menjadikannya penjaring terbanyak sepanjang zaman Harimau Selatan.
Baru-baru ini dia muncul pemenang kasut emas Liga Super musim 2024/25 dengan mencatat rekod baru jaringan peribadi semusim (32 gol) – membawa kepada jumlah gol dalam Liga Super kepada 105 – dan hanya memerlukan dua sahaja lagi gol untuk memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super dipegang Indra Putra Mahyuddin.
Sport Club do Recife merupakan kelab Liga Serie A Brazil yang pernah menjuarai liga pada 1987 dan kejuaraan terakhir dimenangi mereka adalah Copa do Brasil pada 2008.
Meskipun ia masih lagi spekulasi, namun JDT juga dilihat seperti memberi bayangan awal Bergson akan dilepaskan, apabila media sosial mereka membuat throwback dengan memuatnaik klip video pemain itu meluangkan masa dengan kumpulan penyokong Boys of Straits selepas menjaringkan gol ke-100nya bersama pasukan itu.
Ia mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong, di mana ada yang menganggap melepaskannya akan menjadi ‘good business’ buat JDT mengambil kira faktor umur serta kelab itu sendiri tidak ketandusan pemain lain untuk mengisi posisinya.
Ada juga yang merasakan Bergson perlu kekal di Malaysia memandangkan dia dikatakan bakal menjadi pemain naturalisasi dan belum cukup lima tahun bermain di Liga Malaysia. Keluar bermain di liga lain sebelum cukup tempoh bermakna peluang untuk pemain itu menyarung jersi Harimau Malaya akan tertutup.