HomeSukanJDT Diminta Benarkan Sahaja Hidalgo Bermain

JDT Diminta Benarkan Sahaja Hidalgo Bermain

Harapan penyokong untuk menyaksikan perlawanan final Piala Malaysia yang sengit dan menghiburkan tidak akan menjadi kenyataan sekiranya Sri Pahang tidak dapat menurunkan skuad terkuat mereka.

Ini berikutan pasukan pantai timur itu bukan sahaja tidak dapat menurunkan kelibat ayam tambatan Manuel Hidalgo berikutan perjanjian pinjaman (gentleman’s agreement) tetapi berkemungkinan besar turut kehilangan khidmat Kpah Sherman kerana penggantungan.

Bagi bekas tonggak Pahang yang juga penjaring gol kemenangan ketika Tok Gajah menjulang Piala Malaysia pada 1992, Zulhamizan Zakaria, tidak salah sekiranya JDT mengetepikan perjanjian pinjaman dan bermurah hati membenarkan Hidalgo bermain.

“Sebagai bekas pemain dan penyokong setia Sri Pahang, secara peribadi saya berpendapat walaupun Hidalgo berstatus pemain pinjaman, dia sepatutnya dibenarkan beraksi pada perlawanan akhir itu walaupun berhadapan dengan pasukan majikannya sendiri.

“Jangan jadikan status pemain pinjaman sebagai sebab utama pemain terbabit tidak dapat diturunkan. Kehadiran Hidalgo tidak menjejaskan kekuatan JDT yang memiliki barisan pemain berkualiti. Saya percaya perlawanan yang lebih menarik dapat di persembahkan kedua pasukan sekiranya barisan pemain terbaik dapat beraksi,” katanya menerusi laporan Arena Metro.

Bagaimanapun, Zulhamizan mungkin lupa, walaupun JDT bermurah hati sekalipun membenarkan Hidalgo bermain, pemain itu sebenarnya masih dalam penggantungan ekoran kad merah yang diterima ketika menentang Sabah dalam aksi separuh akhir pertama di Likas.

Hidalgo ketika itu dilayangkan kad merah oleh pengadil, Zamzaidi Katimin pada minit ke-75 selepas dikesan mengasari bek tengah Sabah, Dominic Tan semasa cuba mendapatkan bola.

Tidak ada sebarang pengumuman atau pemakluman dibuat FAM mahupun MFL mengenai jumlah perlawanan digantung berdasarkan manual pertandingan Liga Malaysia, namun difahamkan Hidalgo perlu menjalani penggantungan dua perlawanan automatik.

Baca Juga: Fandi Kesal Pengadil Perlawanan JDT Berat Sebelah

Mengenai Kpah Sherman yang menjaringkan gol kemenangan ketika menyingkirkan Sabah pula, Zulhamizan berharap Sri Pahang wajar membuat rayuan supaya kad kuning yang dikenakan ke atas pemain Liberia itu dalam aksi separuh akhir kedua akan dibatalkan.

“Dengan kehadiran barisan awang import dapat menjadikan perlawanan akhir Piala Malaysia musim lebih menarik seterusnya dapat menarik kehadiran lebih ramai peminat kedua-dua pasukan,” tambah Zulhamizan yang menyarung jersi Pahang selama lapan musim dari 1990-1998.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!