HomeSukanJDT Terus Bernafsu, Sambar Khidmat Bukhari

JDT Terus Bernafsu, Sambar Khidmat Bukhari

Juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) terus memperkasa skuad dengan rekrut berkualiti tinggi apabila berjaya memancing khidmat pemain meningkat naik Bukhari Samsudin dari ATM FC.

Bukhari, berusia 25 tahun, antara nama yang mencuri tumpuan musim ini dalam saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL), menyerlah dengan menjaringkan 9 gol dalam 7 perlawanan, termasuk dua gol penting ketika ATM bangkit mengikat KL City 5-5, sekali gus berada di tangga keempat penjaring terbanyak MPFL 2026.

Berdasarkan analisis Arena Futsal, kehadiran Bukhari dapat memberikan dimensi berbeza kepada corak serangan JDT memandangkan dua pivot utama skuad kendalian Joao Almeida itu iaitu Awaluddin Md Nawi dan Ekhmal Shahrin kedua-duanya merupakan pemain yang lebih dominan menggunakan kaki kiri.

Situasi itu menyebabkan variasi serangan JDT di posisi pivot menjadi agak terhad, khususnya ketika membina serangan dari bahagian strongside kanan. Justeru sebagai pivot berkaki kanan, kehadiran Bukhari diyakini menyelesaikan masalah tersebut, khususnya ketika menggunakan pivot di sebelah kanan bagi memecahkan blok pertahanan lawan.

Selain itu, Bukhari turut dikenali sebagai pemain yang memiliki rembatan cukup kuat dari jarak sederhana. Sebahagian besar golnya musim ini hadir menerusi percubaan sekitar 10 hingga 12 meter, menjadikannya ancaman walaupun berada di luar kawasan pivot tradisional.

Menariknya, perpindahan Bukhari membuka ruang kepada ATM untuk mendapatkan khidmat Danial Dain secara pinjaman dari JDT, sekaligus menjadikan urusan perpindahan ini sebagai situasi yang menguntungkan kedua-dua pihak.

ATM memperoleh pemain kebangsaan yang mempunyai pengalaman bersama JDT, manakala Danial Dain pula berpeluang mendapatkan lebih banyak minit permainan dan memainkan peranan lebih besar sepanjang baki musim.

RELATED ARTICLES

Most Popular