Bekas CEO Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid menegaskan cadangan penetapan had umur 70 tahun bagi calon-calon kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah tidak masuk akal.
Dia berpendapat adalah lebih baik had umur ditetapkan kepada maksima 60 tahun memandangkan badan induk itu memerlukan seseorang yang boleh bekerja di bawah tekanan dan boleh membuat keputusan secara rasional.
“Had umur calon sehingga 70 tahun juga dilihat tidak relevan kerana kebanyakan pada usia itu sudah nyanyuk, tidak dapat berfikir dengan waras dan baik serta tidak dapat bekerja di bawah tekanan. Kadang-kadang boleh membuat keputusan mengikut emosi.
“Maka kita cadangkan had umur diturunkan kepada 60 tahun sahaja seperti mana amalan persaraan kakitangan kerajaan,” katanya dipetik dari laporan BH Sukan.
Muzakkir yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berharap Kongres Pemilihan FAM akan datang berlangsung secara telus tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Tambahnya, amalan demokrasi yang sihat perlu terus diperkasakan dengan memberi ruang kepada pertandingan bagi jawatan tertinggi badan induk itu.
Sebelum ini, AFC yang bertanggungjawab melakukan audit kualiti terhadap FAM, dalam cadangan mereka menyatakan untuk seseorang itu dicalonkan ke mana-mana jawatan, calon perlu berumur bawah 70 tahun pada hari pengundian serta melepasi semua tapisan latar belakang termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi.
Perubahan lain yang dicadangkan termasuklah pengurangan jumlah Exco FAM daripada 17 kepada 11 orang, manakala jawatan Timbalan Presiden FAM dimansuhkan, sementara jumlah kerusi Naib Presiden pula dikurangkan kepada tiga dengan salah satu individu yang mengisi posisi itu adalah daripada MFL.
Pihak AFC juga mencadangkan untuk memberi slot Exco kepada wakil kelab, wanita dan kumpulan pakar untuk terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan di FAM pada masa depan.



