Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) adalah calon paling sesuai untuk menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sekali lagi.
Pendapat itu disuarakan bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial FAM, Sayf Ismail.
Walaupun TMJ pernah menjadi Presiden FAM pada 2017 dan meletakkan jawatan selepas hanya setahun; Sayf menganggap itu adalah cerita lama dan yakin beliau lebih matang, dewasa, dan bersedia kali ini untuk menguruskan FAM dan membawa pembaharuan.
Baca juga: Hamidin Berundur Satu Kerugian Besar Buat Bolasepak Negara
“Dengan kejayaan demi kejayaan diraih JDT termasuk layak konsisten ke ACLE (Liga Juara-Juara Asia Elit) dan fasiliti latihan dan stadium yang terbaik, Tunku Ismail tokoh paling sesuai.
“Malah, perkara paling penting adalah tatakelola dan pengurusan Tunku Ismail cukup baik. FAM sebenarnya banyak duit tetapi memerlukan pengurusan tatakelola yang efisien. Saya pernah berkerja di FAM dan saya tahu isu utama hanyalah tentang tatakelola sahaja,” katanya dipetik dari laporan Arena Metro.
Tambah Sayf lagi, “Individu ada pengalaman korporat yang bagus boleh membawa FAM ke tahap yang baik. Biarlah orang muda dan jika Tunku Ismail tidak mahu, saya lihat Khairy Jamaluddin antara calon sesuai selepas Tunku Ismail.”
Khairy Jamaluddin bukanlah nama asing dalam arena bolasepak tanah air, di mana beliau pernah memegang jawatan Timbalan Presiden FAM dari 2007-2010.
Beliau juga merupakan individu penting yang memperkasakan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) termasuk mewujudkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) ketika memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan pada 2013.
Sebagai rekod, kerusi Presiden FAM akan dikosongkan pada Februari nanti setelah Tan Sri Hamidin Mohd Amin memilih untuk tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 2018.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Datuk Mohd Joehari Ayub antara calon yang hangat dikaitkan untuk menduduki kerusi Presiden FAM namun setakat ini semuanya hanya spekulasi semata-mata.