Sebarang tindakan lanjut berhubung permohonan membawa masuk pemain warisan bagi memperkuatkan skuad bolasepak kebangsaan, hanya boleh diambil selepas dokumentasi diterima daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini memaklumkan sekurang-kurangnya enam pemain warisan dari Eropah Selatan telah dikenalpasti untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Baginda mengharapkan kerajaan akan membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia agar khidmat mereka dapat digunakan ketika pusingan kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac nanti.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata kementeriannya menghargai dan menyambut baik inisiatif Tunku Ismail yang sudahpun melakukan usaha terbaik mendapatkan data diperlukan dalam kadar yang begitu cepat.
Justeru, Hannah berkata pihaknya tiada masalah untuk memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan nanti apabila semua dokumen yang diperlukan diterima.
“Setakat ini, saya belum menerima sebarang dokumen berkaitan. Mungkin FAM sedang sibuk dengan pemilihan kepimpinan mereka.
“Namun, saya percaya apabila mereka bersedia, mereka akan datang kepada kami. Kami bersedia melihat bagaimana sokongan dapat diberikan,” kata Hannah.
Terdahulu, Timbalan Presiden FAM< Datuk Yusoff Mahadi menyatakan pengambilan pemain warisan untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya, diuruskan mereka yang lebih arif iaitu pengurusan baru Harimau Malaya di bawah teraju Rob Friend.
Baca Juga: Bukan Tangkap Muat, Percaya Kepada Kerja TMJ
“FAM serahkan kepada pengurusan baharu Harimau Malaya untuk mencari dan mengambil pemain kacukan untuk menguatkan lagi skuad Harimau Malaya.
“Mereka lebih arif dan mengetahui berdasarkan kepada keperluan pasukan Harimau Malaya. Oleh itu, kita tunggu saja pengumuman oleh pengurusan baharu skuad kebangsaan.
“FAM akan membantu dalam urusan dokumentasi dan beberapa perkara lain. Paling penting adalah memastikan skuad Harimau Malaya mampu meraih kejayaan pada kejohanan akan datang,” katanya dilaporkan Arena Metro.