HomeSukanKinoshi Dedah Resipi Kejayaan Selangor

Kinoshi Dedah Resipi Kejayaan Selangor

Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi boleh dikatakan individu paling gembira di kem Red Giants ketika ini.

Mana tidaknya, dia yang memulakan tugas selepas menggantikan Nidzam Jamil dengan kekalahan dalam dua perlawanan pertama, berjaya memacu pasukan itu menang lima perlawanan terakhir mereka.

Kinoshi bermula dengan kekalahan di tangan Muangthong United disusuli Sri Pahang yang membawa kepada tersingkirnya Selangor dari ACL2 dan Piala Malaysia.

Namun ibarat melepaskan geram, Selangor selepas itu mengganas dengan tidak lagi memberi muka kepada lawan mereka.

Bermula dengan membelasah Cebu FC 4-0 dalam ACL2, rentak kemenangan diteruskan dengan kemenangan 4-0 ke atas Negeri Sembilan dan 2-1 ke atas Perak (Liga Super) serta 5-1 dan 3-0 ke atas Kelantan United dalam Piala Cabaran.

Secara keseluruhannya Red Giants menjaringkan 18 gol dan bolos hanya dua gol dalam lima perlawanan.

Pengendali dari Jepun itu teruja dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan, dan mendedahkan kunci utama yang membantu kebangkitan pasukannya.

“Saya berpuas hati dengan corak permainan ditunjukkan termasuk persembahan mereka, bukan sahaja kesebelasan utama malah pemain gantian. Seperti saya katakan, saya mahu setiap pemain ada Selangor style.

“Kesemua pemain memberi sumbangan masing-masing dan inilah kunci kejayaan pasukan. Resipi paling penting, kami perlu terus percaya dengan diri sendiri dan keupayaan masing-masing, kerana tanpa kedua-dua ini, sukar untuk mencapai kejayaan,” kata Kinoshi.

Mengenai peluang Selangor menamatkan kemarau trofi setelah mara bergaya ke separuh akhir Piala Cabaran, Kinoshi berpendapat ia boleh berlaku namun mahu pemain tidak kehilangan fokus.

“Kami meraih kemenangan dan layak ke pusingan seterusnya. Apa yang penting adalah tiada pemain mengalami kecederaan. Selain itu, saya juga berjaya menurunkan semua pemain termasuklah daripada skuad bawah 23 tahun (B-23).

“Jadi ini satu petanda yang baik untuk masa depan Selangor FC. Sudah tentu keputusan seperti ini akan melonjakkan motivasi pemain.

“Selepas ini, kita akan berehat seketika untuk mengurangkan keletihan dan kesakitan kerana kami mengharungi banyak perlawanan sepanjang bulan ini,” ujarnya.

Foto kredit : Selangor FC

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!