Pada bulan Julai 2024, pemain Belanda yang pernah menyinari Liga Perdana Inggeris, Anwar El Ghazi memenangi tuntutan undang-undang ke atas kelabnya, Mainz.
Apa yang terjadi antara Anwar dan Mainz? Begini ringkasan ceritanya untuk pemahaman mudah semua:
1) Pada November 2023, Anwar telah digantung oleh kelab Jerman itu kerana menggunakan ayat “from the river to the sea” di instagramnya. Ia adalah slogan popular dalam kalangan pro-Palestin yang menunjukkan tanda bersolidariti bersama mereka.
2) Sejak kejadian digantung, hubungan antara Anwar dan Mainz tidak pernah langsung bertambah baik dan dia kemudian ditamatkan kontrak atas alasan tidak profesional.
3) Gajinya tidak dibayar, dia menuntut pampasan baki kontrak namun tidak diendahkan Mainz, mereka buat keras kepala. Kelab itu sengaja membiarkan Anwar ke hulu ke hilir membuat tuntutan kerana merasakan mereka berada di pihak yang betul.
4) Anwar kemudian memfailkan saman dengan membawa kesnya ke pengetahuan Jabatan Buruh Mainz dan menang tuntutan tersebut apabila Mahkamah Buruh Mainz menyatakan ia adalah kebebasan bersuara dan penamatan kontraknya adalah tidak sah. Mereka memerintahkan Mainz membayar gaji bulanan Anwar seperti biasa sepanjang tempoh baki kontraknya, membuatkan kelab itu menanggung malu besar.
5) Anwar kemudian menyumbangkan AS$560,000 ke tabung anak-anak Palestin dan menyatakan:
“Hakikatnya saya berjuang selama ini bukan sebab mahukan duit, tetapi ia adalah untuk kebajikan anak-anak di Gaza untuk memastikan mereka dapat bertahan. Melalui saya, Mainz menyumbang ke tabung ini, saya harap Mainz mendapat ketenangan yang sewajarnya.
“Dalam usaha mereka cuba untuk mendiamkan saya dengan mengambil tindakan-tindakan yang tidak wajar, mereka sebenarnya telah menjadikan suara saya lebih kuat untuk golongan yang tertindas ini.”