HomeNostalgiaKisah Coach TRW Letak Jawatan Menerusi Surat Tulisan Tangan

Kisah Coach TRW Letak Jawatan Menerusi Surat Tulisan Tangan

Musim 2018 boleh dikatakan sebagai permulaan kepada situasi caca-marba, huru-hara dan tunggang langgang pasukan Kelantan.

Diterajui Bibi Ramjani Ilias Khan yang juga Presiden wanita pertama Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) ketika itu, The Red Warriors memulakan musim di bawah bimbingan Sathit Bensoh.

Namun, selepas hanya tiga perlawanan, jurulatih dari Thailand itu dipecat atas alasan tidak mencapai KPI ditetapkan apabila tewas kepada Melaka (1-2) dan Pahang (0-3) serta seri menentang Terengganu (1-1).

Penolong jurulatih, Yusri Che Lah bertindak sebagai pengendali bermula pertengahan Februari sementara KAFA mencari pengganti.

Kemudiannya pada bulan Mac, Bibi Ramjani mengumumkan kemasukan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Syria, Fajr Ibrahim sebagai Pengarah Teknikal pasukan.

Tetapi hanya beberapa hari selepas itu, Fajr dilantik sebagai ketua jurulatih, manakala Yusri Che Lah pula kembali kepada tugas sebagai penolong.

“Fajr akan menjadi ketua jurulatih dan kita akan beri kuasa sepenuhnya kepada beliau untuk membentuk semula pasukan.

“Kita harap Fajr menurunkan segala ilmu dan pengalamannya dalam meningkatkan prestasi pasukan. Malah, kita harap pemain dapat menerimanya dan mempamerkan aksi sebenar setimpal dengan bayaran yang diterima mereka,” kata Bibi Ramjani ketika itu.

Hadir Untuk Merosakkan Pasukan

Bagaimanapun, kehadiran Fajr, dari awal lagi menimbulkan pelbagai cerita kurang senang di kem Kelantan. Dia seperti mempunyai agenda lain apabila ‘menjajah’ TRW dengan beberapa keputusan yang tidak disenangi.

Antara tindakannya yang menimbulkan persoalan termasuklah secara tiba-tiba menggugurkan lebih sedozen pemain tonggak pasukan atas alasan tiada dalam perancangannya.

Nama-nama besar yang diketepikan termasuklah dua penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dan Ramadhan Hamid; S.Veenod, Badhri Radzi (Piya), Do Dong Hyun, Morgaro Gomis dan Norfarhan Mohamad.

Dia juga ‘mendera’ psikologi beberapa pemain seperti Piya, Amiridzwan Taj, Do Dong Hyun dan Morgaro Gomis dengan meminta mereka menjalani latihan secara berasingan dengan rakan sepasukan yang lain.

Malah lebih perit, Piya dan Taj dikerah berlari mengelilingi padang sebanyak empat pusingan di bawah terik mentari pada bulan puasa.

Tidak cukup dengan itu, Fajr kemudiannya memilih untuk merekrut hampir satu pasukan Piala Presiden Kelantan yang mentah pengalaman ke dalam skuad utama.

Ia jelas merosakkan keharmonian di dalam pasukan, menjadi buah mulut dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong apatah lagi keputusan-keputusan perlawanan juga sangatlah tidak ‘cantik’.

Lari Tanpa Rasa Tanggungjawab

Tiga perlawanan pertama di bawah kendalian Fajr, TRW mengutip hanya satu mata – seri menentang Negeri Sembilan, tewas kepada JDT dan PKNP.

Fajr sedar dia menjadi sasaran kebencian dan kemarahan penyokong, justeru selepas kekalahan kepada PKNP, iaitu hanya selepas tiga perlawanan dia menyatakan mahu meletakkan jawatan namun menarik balik hasrat itu selepas dipujuk Bibi Ramjani.

Lima perlawanan berikutnya, TRW cuma menang sekali ke atas KL dan tewas empat kali berturut-turut kepada PKNP, KL, Negeri Sembilan dan Selangor; yang juga kekalahan kesembilan mereka musim tersebut.

Kekalahan di tangan Selangor itu aksi terakhir kendaliannya. Fajr menghilangkan diri selepas itu dan gagal dikesan keberadaannya.

Selang beberapa hari, menerusi satu surat tulisan tangan dengan english berterabur yang panjangnya lebih kurang 30 patah perkataan kepada Bibi Ramjani, Fajr mengumumkan peletakan jawatannya.

Di dalam surat tersebut, Fajr menyatakan kesulitan yang dihadapi di dalam menguruskan pasukan termasuk ketiadaan fasiliti latihan adalah punca dia membuat keputusan itu namun ia dilihat lebih kepada alasan di atas kegagalannya.

Kisah Fajr adalah kisah seorang jurulatih lari meninggalkan pasukan setelah membawa ‘kerosakan teruk’. Dia merosakkan keharmonian, meletakkan pasukan di kedudukan tercorot liga, dan dengan mudahnya melepaskan diri tanpa sedikitpun rasa bertanggungjawab.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!