Pengerusi Buriram United, Newin Chidchob membuat kenyataan terbuka seolah perlekeh kekuatan Johor Darul Takzim (JDT).
Buriram dan JDT bertemu dalam saingan Asia Champions League Elite (ACLE) pada 3 Disember lalu, dengan perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan.
Sebagai reaksi kepada keputusan itu, Newin dalam satu temuramah disiarkan SNEsports, berkata JDT nampak kuat kerana beraksi di Liga Malaysia yang standardnya jauh berbeza dengan Liga Thailand.
“Kita boleh berlawan lagi, tapi anda takkan terlepas. JDT tidak lah begitu kuat, saya perlu cakap standard Liga Malaysia tidak sama level dengan Liga Thailand.
“Saya beritahu secara jujur, walaupun JDT membawa masuk lebih ramai import, ia bukan sesuatu yang merisaukan saya. Level pemain import JDT adalah .. saya cakap ini supaya boss JDT (Tunku Ismail) akan melabur banyak lagi dan pada tahun depan kita boleh adakan satu perlawanan dan berlawan semula,” kata Newin.
Selepas tamat enam perlawanan dalam saingan ACLE, JDT menduduki tangga keenam dengan lapan mata, manakala Buriram yang turut mengutip lapan mata di tangga kelapan, dipisahkan menerusi beza jaringan.
Jika JDT gah mendominasi Liga Super dengan langsung tidak mampu dicabar pasukan lain sejak lebih sedekad lalu, Buriram yang dibimbing Osmar Loss pula merupakan pendahulu saingan Thai Premier League.
Mereka hanya tiga mata mendahului Bangkok United, dan hanya lapan mata memisahkan antara pendahulu dengan kelompok empat teratas. Mungkin itu yang dimaksudkan Newin sebagai standard liga jauh berbeza.
Apapun, semoga JDT mengambil kata-kata ini sebagai satu cabaran dan membuktikan Newin adalah silap dalam membuat penilaian.