HomeSukanLiga A1: Tiada Kepastian Mengenai Status KRW

Liga A1: Tiada Kepastian Mengenai Status KRW

Saingan Liga A1 Semi-pro musim 2026/27 dijangka akan berlangsung membabitkan antara 14 ke 16 pasukan, dengan Amateur Football League (AFL) sedang menunggu pengesahan penyertaan daripada semua kelab yang terlibat.

Ketua Pegawai Eksekutif AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad menyatakan jumlah sebenar hanya dapat dimuktamadkan setelah selesai proses pengesahan penyertaan seawal hujung minggu ini.

Tambahnya, belum ada kepastian tentang status penyertaan Kelantan Red Warrior (KRW) serta UM Damansara United di Liga A1 Semi-pro memandangkan kedua-dua pasukan itu sedang dalam penilaian kriteria oleh Malaysian Football League (MFL) untuk beraksi di Liga Super.

“Sekiranya kedua-dua pasukan berkenaan tidak mengesahkan penyertaan dalam Liga A1 Semi-Pro dalam tempoh ditetapkan, AFL akan menganggap mereka beraksi di Liga Super.

“Tetapi untuk pengesahan bermain di Liga Super itu, MFL yang akan mengesahkannya. Apa yang saya difahamkan, kedua-dua pasukan sudah melepasi proses pelesenan kelab, namun masih ada proses lain yang perlu diselesaikan. Kami tidak boleh membuat sebarang pengesahan kerana ia di bawah bidang kuasa MFL,” katanya kepada Arena Metro.

Musim lalu KRW kendalian jurulatih veteran, Irfan Bakti Abu Salim cemerlang menamatkan Liga A1 di kedudukan keempat dengan 56 mata manakala UM Damansara pula di kedudukan keenam dengan 49 mata.

Menurut Raimi lagi, AFL mengekalkan hampir keseluruhan peraturan pertandingan musim lalu, termasuk syarat penggunaan maksimum tiga pemain import serta kewajipan menyenaraikan sekurang-kurangnya tujuh pemain bawah 23 tahun.

Manakala mengenai format Liga A1 musim baru, Raimi berkata ia hanya dapat diputuskan selepas proses pengesahan selesai.

“Kita melihat semula sama ada format 16 pasukan dengan 30 perlawanan benar-benar sesuai untuk liga semi-pro. Ada pasukan berdepan kesukaran, namun ada juga yang gembira kerana dapat memberi lebih banyak minit permainan kepada pemain muda.”

Ditanya sekiranya terdapat kekosongan akibat penarikan diri pasukan, Raimi berkata AFL mempunyai beberapa pilihan termasuk menawarkan slot kepada pasukan Liga A2 yang layak ataupun mempertimbangkan penyertaan pasukan feeder kelab Liga Super.

RELATED ARTICLES

Most Popular