HomeSukanHamann Minta Malaysia Usah Berhenti Bermimpi

Hamann Minta Malaysia Usah Berhenti Bermimpi

Bekas pemain tengah Liverpool, Dietmar Hamann meminta Malaysia tidak berhenti bermimpi untuk beraksi di Piala Dunia suatu hari nanti.

Hamann yang beraksi di dua edisi Piala Dunia bersama Jerman termasuk muncul naib juara pada 2002 selepas tewas kepada Brazil menegaskan untuk impian itu direalisasikan, jangan sesekali abaikan pembangunan akar umbi.

Menurut Hamann, inisiatif seperti Malaysia Youth League (MYL) serta pelbagai pertandingan peringkat umur lain sedang membina asas yang tepat untuk masa depan bola sepak negara. Kanak-kanak adalah masa depan. Tanpa bola sepak akar umbi, tidak akan wujud bola sepak profesional,” kata bekas pemain berusia 52 tahun itu.

“Ia sesuatu yang tidak ternilai jika Malaysia suatu hari nanti dapat beraksi di Piala Dunia. Ketika ini, terdapat beberapa negara yang sebelum ini tidak pernah dijangka mampu layak, tetapi akhirnya berjaya melakukannya. Jadi, mengapa tidak Malaysia pada masa depan?

“Saya telah meluangkan sedikit masa di sini dan saya dapat melihat bola sepak semakin berkembang. Kanak-kanak sangat meminati sukan ini dan mereka menikmati permainan itu, dan itulah yang paling penting,” tambahnya.

Hamann yang hadir pada majlis pengumuman kerjasama antara MYL dan jenama perkakas rumah, Haier, yang akan menjadi penaja liga itu dari September hingga Disember tahun ini, berkata pembangunan pemain muda memerlukan lebih daripada sekadar bakat. Sebaliknya, ia memerlukan sokongan padu daripada semua pihak bagi melahirkan generasi baharu pemain berkualiti.

“Saya mula bermain bola sepak ketika berusia lima tahun dan ramai individu yang membantu serta menyokong saya. Bapa saya melatih saya pada beberapa tahun pertama dan ia memainkan peranan yang sangat besar. Sokongan tenaga kerja seperti itulah yang paling penting.”

Pada majlis sama, MYL turut mengumumkan Haier sebagai penaja utama kejohanan Malaysia Cup yang akan berlangsung pada 22 hingga 23 Ogos di EV Arena, Elmina, selain menaja KL Verdy Football Team.

Kejohanan itu dijangka menghimpunkan sehingga 150 pasukan melibatkan pemain muda berusia antara enam hingga 16 tahun dalam satu sambutan yang mengetengahkan bakat, semangat berpasukan dan semangat kesukanan.

RELATED ARTICLES

Most Popular