HomeSukanMFL Diminta Jawab Kontroversi Penggunaan Nama KL City FC

MFL Diminta Jawab Kontroversi Penggunaan Nama KL City FC

Malaysian Football League (MFL) dituntut memberi penjelasan tentang bagaimana mereka menerima penggunaan nama Kuala Lumpur City Football Club (KL City FC) pada ketika wujud pertikaian pendaftaran cap dagang yang belum selesai dengan sebuah kelab futsal yang mendakwa telah beroperasi dengan nama itu sejak 2009.

Pengurusan kelab Liga Super itu difahamkan telah memohon untuk mendaftarkan cap dagang KL City FC tetapi ia telah menerima bantahan sementara daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), menurut laporan Graig Nunis untuk TwentyTwo13.

Pengarah sukan kelab futsal KL City FC, Jerry Dinesh Pireira, berkata pada hakikatnya kelab bolasepak itu dijenamakan semula daripada KL United FC pada tahun 2021. Tetapi kekeliruan timbul apabila mereka menggunapakai nama KL City FC.

Ia menimbulkan konflik dengan kelabnya, yang berdaftar secara sah di bawah Pesuruhjaya Sukan (PJS) sebagai Kuala Lumpur City Football Club dan telah menggunakan identiti Kuala Lumpur City FC sejak penubuhannya.

“Kami telah wujud sejak tahun 2009. Bagaimana sebuah entiti lain boleh dibenarkan menggunakan identiti yang sama sedangkan entiti sukan mereka yang berdaftar menggunakan nama yang berbeza (KL United FC)?” soal Pireira.

“Kelab kami secara rasmi telah membantah permohonan cap dagang berkaitan nama Kuala Lumpur City FC melalui MyIPO. Perkara itu masih belum diselesaikan, namun kelab Liga Super tersebut terus menggunakan nama berkenaan.

“Saya mempunyai salinan dokumen permohonan cap dagang tersebut yang menunjukkan MyIPO telah mengeluarkan bantahan sementara terhadap permohonan itu. Jika permohonan itu tidak diluluskan, bagaimana nama tersebut boleh digunakan dalam bola sepak profesional selama bertahun-tahun? Itulah persoalan asas yang perlu dijawab,” kata bekas pemain futsal kebangsaan itu.

Jerry Dinesh turut membangkitkan beberapa persoalan lain:

  • Mengapa nama itu dibenarkan digunakan sedangkan entiti sukan yang berdaftar masih menggunakan nama Kuala Lumpur United FC?
  • Mengapa MFL membenarkan penggunaan nama tersebut walaupun permohonan cap dagang masih belum diselesaikan selama bertahun-tahun?
  • Mengapa pelbagai surat rasmi dan surat daripada peguam tidak mendapat sebarang maklum balas?
  • Adakah wujud campur tangan politik dalam pengendalian isu ini?

“Kekeliruan ini menjejaskan jenama kami. Ada penaja yang menarik diri kerana mereka mengaitkan kami dengan isu tunggakan gaji pemain dan jurulatih yang melibatkan kelab bola sepak itu, sedangkan perkara tersebut langsung tiada kaitan dengan kami.”

Tambah Jerry Dinesh, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menyelesaikan isu itu secara baik, termasuk perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama antara kedua-dua entiti.

Kelab futsalnya menerima sepucuk surat daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif kelab bola sepak itu, Stanley Bernard, pada Disember 2024 yang mencadangkan kerjasama antara kedua-dua kelab sebagai jalan penyelesaian kepada pertikaian tersebut.

“Namun sehingga kini tiada perkembangan lanjut. Kami tiada pilihan selain membawa perkara ini ke mahkamah,” kata Jerry Dinesh sambil menambah bahawa KLFA kini sekali lagi berusaha mendaftarkan nama Kuala Lumpur City Football Club.

“Ini bukan sesuatu yang kami inginkan, tetapi kami perlu menjelaskan keadaan sebenar dan melindungi reputasi kami. Bukan mudah untuk mendapatkan penaja, dan nama kami tercalar apabila kelab bola sepak itu berdepan masalah kewangan.”

Beliau turut mendakwa beberapa surat yang dihantar kepada pihak berkaitan tidak pernah menerima sebarang jawapan.

“Kebimbangan kami bukan sekadar mengenai penggunaan nama itu. Apa yang lebih penting ialah soal akauntabiliti. Kami telah menghantar surat peguam, memohon sesi libat urus dan cuba menyelesaikan perkara ini dalam kalangan keluarga bola sepak. Namun banyak komunikasi tersebut langsung tidak mendapat sebarang respons,” katanya.

Jerry Dinesh berkata beliau bersedia mempertimbangkan sebarang penyelesaian yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak serta menjamin kelangsungan jangka panjang kelabnya.

Bagaimanapun, usaha-usaha tersebut terbantut berikutan perubahan kepimpinan dan perkembangan dalaman dalam pentadbiran KLFA.

“Orang ramai berhak mengetahui bagaimana keputusan-keputusan ini dibuat. Isu ini lebih besar daripada sekadar pertikaian cap dagang. Ia melibatkan soal tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.

Walaupun tindakan undang-undang masih sedang dipertimbangkan, Jerry Dinesh berkata keutamaan beliau ketika ini adalah untuk mendapatkan penjelasan mengenai bagaimana isu penggunaan nama tersebut dikendalikan dan mengapa ia dibiarkan berlarutan selama bertahun-tahun.

RELATED ARTICLES

Most Popular