Kapten Harimau Malaya, Dion Cools berpendapat Malaysia mahupun negara-negara lain boleh belajar daripada Jepun, tentang bagaimana mereka membina sistem yang tersusun sehingga berjaya melahirkan ramai pemain berbakat di pelbagai peringkat umur.
Cools yang bermain dengan Cerezo Osaka di Liga J1 menyatakan rasa kagumnya dengan proses pembangunan di negara matahari terbit itu, apatah lagi dia berpeluang melihat dengan lebih dekat perjalanan dan transisi pemain daripada akar umbi ke skuad utama.
Sistem ini menurutnya bukan sahaja melahirkan pemain-pemain berkualiti yang boleh bermain di tahap tertinggi seterusnya menjadi aset skuad kebangsaan Jepun, tetapi lebih daripada itu, membuka pasaran pemain ke luar negara terutamanya Eropah.
“Pada pandangan saya, pakej keseluruhan pembangunan pemain di Jepun sangat luar biasa. Mereka memiliki potensi untuk menjadi pemain yang bagus sama ada dalam pasukan kebangsaan atau di Eropah.
“Sekarang ramai pemain Jepun bermain di Eropah dan menunjukkan potensi mereka bersama pasukan kebangsaan. Mereka melakukannya dengan betul dan negara lain di Asia perlu belajar dan menyesuaikan diri dengan cara Jepun.
“Walaupun mungkin tidak mudah, tetapi mereka mempunyai asas dan mentaliti yang bagus,” katanya sepertimana dilaporkan Arena Metro.
Walaupun tak tuju secara terus kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kata-kata Cools itu pastinya satu tamparan buat badan induk bolasepak tanah air itu yang sehingga kini bergelut untuk menyediakan sistem pembangunan pemain yang dapat melahirkan pemain berkualiti secara konsisten. Bukannya reset dan reset, bermula semula berulang kali.
Malah, laluan pemain-pemain yang diasah bakat di Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) juga seolah tersekat apabila sampai ke satu tahap – tiada transisi yang lancar ke skuad utama ataupun senior. Ada yang terus hilang daripada radar.



