Persatuan Bolasepak Paraguay memfailkan bantahan rasmi kepada FIFA menuntut Jude Bellingham dikenakan tindakan tatatertib kerana menutup mulut ketika bercakap dengan Jordan Ayew dalam perlawanan England menentang Ghana.
Paraguay mendakwa perancang tengah Real Madrid itu sepatutnya dilayangkan kad merah sepertimana nasib menimpa pemain mereka Miguel Almiron ketika menentang Turki.
Almiron menjadi pemain pertama dalam sejarah untuk dilayangkan kad merah kerana bercakap menutup mulut, di bawah peraturan baru diperkenalkan FIFA yang turut dikenali sebagai Prestianni Law. Ada juga memanggilnya Vinicius Law.
Tatkala Ghana tidak mahu membesarkan perkara itu dan memilih untuk mengakhiri perlawanan tanpa sebarang kekecohan, Paraguay pula nampaknya tidak berpuas hati. Justeru sepertimana termaktub dalam peraturan pertandingan, mereka telah mengemukakan bantahan rasmi dalam tempoh wajib 48 jam dengan hujah bahawa tidak adil jika Bellingham tidak menerima hukuman yang sama.
Walau bagaimanapun, protes berkenaan dijangka tidak akan dilayan bersandarkan penjelasan awal yang pernah dikeluarkan oleh badan induk bola sepak dunia itu. Sebelum bermulanya Piala Dunia, Ketua Pengadil FIFA, Pierluigi Collina sudah pun memperincikan pelaksanaan undang-undang baharu terbabit.
“Pemain masih dibenarkan menutup mulut dengan lengan, tangan atau jersi sekiranya mereka sekadar berbual kosong atau bertanya khabar dengan rakan-rakan, termasuk rakan sekelab yang mewakili negara berbeza.
“Bagaimanapun, situasinya berbeza sama sekali jika perbualan itu berunsur konfrontasi. Dalam situasi tegang, tindakan menutup mulut memberi isyarat bahawa anda melakukan kesalahan besar dan hukumannya adalah kad merah,” jelas Collina.
Dalam aksi membabitkan England dan Ghana itu, interaksi antara Bellingham dan Ayew jelas tidak menunjukkan sebarang unsur konfrontasi, sekali gus menyaksikan pengadil perlawanan dari Honduras, Said Martinez serta bilik VAR tidak mengambil sebarang tindakan.
Setakat ini, pihak FIFA masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.



