Selangor terus bermaharajalela di tangga teratas Malaysia Premier Futsal League (MPFL) setelah melakar kemenangan ketujuh berturut-turut dengan membenam Pahang Rangers 5-3 sekaligus mengekalkan rekod sempurna tanpa tewas musim ini.
Beraksi di hadapan lautan hitam putih penyokong Tok Gajah, dalam Stadium SUKPA yang full-house, tidak langsung menyekat Red Giants daripada mengamuk dan mereka sudahpun berkelebihan 3-0 selepas 13 minit perlawanan berlangsung.
Syahir Iqbal meledak dua jaringan pada minit ke-5 dan 13 manakala Marlon Oliviera menjaringkan gol ke-16 peribadinya musim ini pada minit ke-7. Pahang Rangers berjaya mengurangkan defisit tepat pada sepakan terakhir separuh masa pertama menerusi Harith Naim.
Hasrat Pahang Rangers untuk bangkit di separuh masa kedua, dipadam dengan dua lagi jaringan daripada Evandro Borges dan Nazreen Saudi untuk Selangor berkelebihan selesa 5-1. Pahang Rangers mengaktifkan permainan powerplay dan berhasil mencari dua gol melalui Syarifuddin Md Akhir dan Felipe de Souza namun ia sudah terlewat untuk mereka mengelakkan kekalahan.
Kemenangan menyaksikan Selangor kini mengutip 21 mata, melebarkan kelebihan di tangga teratas kepada lima mata mengatasi Pahang Rangers (16 mata). Juara bertahan JDT di tangga ketiga dengan 13 mata.
Pahang Rangers dan JDT masih berpeluang untuk meraih tambahan mata untuk minggu ini, apabila turun pada aksi berikutnya pada Ahad (21 Jun). Skuad Eloy Alonso akan berdepan PFA Odin Sarawak manakala JDT bimbingan Joao Almeida pula akan menentang ATM.



