HomeSukan"Masalah Tikus, Siling Bocor Pun Saya Nak Selesaikan" - Amorim

“Masalah Tikus, Siling Bocor Pun Saya Nak Selesaikan” – Amorim

Pengurus Manchester United, Ruben Amorim yakin dengan keupayaannya menyelesaikan masalah-masalah yang sedang membelenggu kelab itu, meskipun dalan masa sama dia berasa kecewa dengan apa yang berlaku.

Selain masalah prestasi yang sukar dipulihkan, Amorim perlu menangani beberapa masalah lain termasuk kecederaan pemain dan pemberontakan Marcus Rashford.

Amorim mengambil alih tugas sebagai pengurus Red Devils pada bulan lalu ketika mereka menghuni tangga ke-14; dan dalam enam perlawanan English Premier League di bawah kendaliannya United mencatat dua kemenangan, tiga kekalahan, dan satu seri.

Pasukan berpangkalan di Old Trafford itu akan menghabiskan Hari Krismas di tangga ke-13, kedudukan terendah mereka pada 25 Disember sejak tahun 1986.

“Ini mungkin salah satu detik paling sukar dalam sejarah kelab kami. Kita perlu hadapinya dan menjadi kuat,” kata Amorim kepada media.

Apabila ditanya mengapa kelab itu belum menunjukkan kemajuan yang ketara, pengurus dari Portugal itu berkata: “Jika saya tahu, saya akan menyelesaikan semua masalah kelab ini, termasuk masalah siling bocor dan serangan tikus.

“Saya tahu apa yang saya akan lakukan. Itu sangat jelas bagi saya. Saya tidak akan kata saya berasa tenang kerana saya benar-benar kecewa. Ini adalah saat yang sangat sukar tetapi kita akan menyelesaikan masalah satu demi satu dan mencari jawapan untuk semuanya.

“Saya hanya mahu menang. Saya tidak peduli tentang Krismas. Saya hanya fokus pada keperluan untuk memenangi perlawanan seterusnya. Itu sahaja yang saya fikirkan.

“Kita bertuah kerana di England dapat bermain pada Boxing Day untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada peminat, dan kami sangat mahu memenangi perlawanan itu.”

Masalah Kecederaan

Mengenai masalah kecederaan, Amorim mengesahkan bahawa pertahanan Matthijs de Ligt dan Victor Lindelof masih belum pulih dan terpaksa menyusun semula skuad bagi memastikan tiada kebimbangan kecederaan baharu.

“Pada masa ini, ia bukan tentang pertukaran untuk menilai pemain dan merancang masa depan tetapi hanya untuk mengelakkan kecederaan.

“Kami sedang cuba menangani segalanya. Saya tahu ada projek jangka panjang dan kami fokus ke arah itu. Jika berlaku kecederaan, ia akan menjadi masalah besar,” katanya.

Ada Yang Hasut Rashford

Mengenai Marcus Rashford pula, Amorim percaya ada yang memberi nasihat salah dan menghasut pemain itu sehingga dia mengeluarkan kenyataan mahu keluar dari Old Trafford dan mencuba cabaran baharu.

“Ia situasi yang sukar. Saya faham pemain ini mempunyai ramai orang di sekelilingnya, dia mendapat nasihat yang tidak betul dan membuat kenyataan yang bukan pilihannya.

“Pada masa ini, saya lupakan dan abaikan apa sahaja yang telah dia katakan dan fokus untuk membantunya. Kami memerlukan pemain berbakat seperti Marcus,” katanya lagi.

Masalah Siling Bocor dan Serangan Tikus

Setelah kekalahan 0-3 kepada Bournemouth minggu lepas, sidang media selepas perlawanan oleh Ruben Amorim terganggu kerana titisan air daripada bumbung yang bocor.

Sebelum ini stadium Old Trafford kerap tular kerana bumbungnya yang bocor. Namun kali ini, buat pertama kali, bumbung di bilik media pula bocor dan menjadi bahan sindiran.

Kemudiannya Old Trafford terus mencuri tumpuan, apabila berlaku pula serangan tikus di kiosk makanan mereka.

Masalah itu dilaporkan menyebabkan penurunan penarafan kebersihan makanan stadium kepada dua bintang daripada maksimum lima bintang.

Ketika ini, United sedang menimbangkan sama ada mahu menaik taraf Old Trafford atau membina stadium baharu sepenuhnya.

Jurucakap kelab itu menegaskan pihaknya mengamalkan sistem kawalan serangga perosak yang ketat di Old Trafford.

“Manchester United melaksanakan sistem kawalan perosak yang kukuh di seluruh Old Trafford,” kata jurucakap itu kepada Daily Mail.

“Pemeriksaan dilakukan beberapa kali seminggu di semua kawasan penyediaan makanan, dan langkah ketat diambil untuk memastikan tahap kebersihan dan kebersihan kekal tinggi di mana makanan disimpan, disediakan, dan dihidang.

“Jika kejadian seperti ini berlaku di stadium, tindakan segera dan sewajarnya akan diambil.”

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!