Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Datuk Seri Afandi Hamzah membuat pengakuan mengejutkan apabila menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menerusi laporan Arena Metro, Afandi yang pernah menduduki kerusi Timbalan Presiden FAM berkata: “Buat masa ini saya tak fikir lagi mengenai perkara itu. Namun jika benar saya ada sokongan yang cukup dan dapat kepercayaan, InsyaAllah boleh dipertimbangkan untuk jawatan Presiden.”
Baca juga: “Jika Bukan TMJ, KJ Adalah Calon Sesuai Presiden FAM”
Afandi sekaligus menjadi orang pertama menyuarakan hasrat untuk merebut kerusi panas itu, yang akan dikosongkan Tan Sri Hamidin Mohd Amin pada Februari nanti.
Begitupun, kredibiliti Afandi pastinya menjadi pertikaian ramai, memandangkan beliau tidak memberi sumbangan signifikan sepanjang berada di FAM sebelum ini.
Justeru, sama ada beliau boleh mendapat sokongan dan kepercayaan ahli gabungan, adalah satu tanda tanya besar.
Sebagai rekod, sejak Hamidin menyatakan tidak mahu mempertahankan jawatan, media tempatan melaporkan antara individu yang mungkin dicalonkan untuk bertanding adalah Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub.
Namun tiada sebarang kenyataan atau pengesahan daripada mulut beliau sendiri.
Adalah difahamkan bagi jawatan Presiden, calon yang berminat perlu mendapatkan enam sokongan bagi melayakkan dirinya untuk bertanding jawatan itu.
Manakala bagi Timbalan Presiden FAM pula, seseorang itu memerlukan lima pencalonan diikuti empat untuk jawatan Naib Presiden dan Exco (Ahli Jawatankuasa Eksekutif) dua pencalonan.