Sukar untuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat siasatan dan mengambil tindakan sekiranya isu tunggakan gaji hanya kecoh diperkatakan di media sosial, tetapi tiada laporan rasmi dibuat kepada badan induk itu.
Sejak beberapa minggu kebelakangan, kemelut tunggakan gaji pasukan Liga Malaysia dan Liga A1 Semi-pro menghiasi dada akhbar dan menjadi bualan hangat di media sosial.
Paling teruk sudah tentunya Kedah Darul Aman FC (KDAFC) yang difahamkan tidak menerima gaji selama sembilan bulan; Kelantan Darul Naim (KDNFC) mencecah empat bulan; selain beberapa pasukan lain seperti KL City, Perak dan Sri Pahang FC.
Manakala bagi saingan Liga A1 pula, hampir separuh pasukan bergelut dengan masalah sama sehinggakan ada pemilik pasukan sudahpun menghilangkan diri.
Berita Berkaitan: Owner Hilang, Masalah Kelab A1 Ini Semakin Parah
Namun apa yang menghairankan, di sebalik kritikalnya isu tersebut, hanya dua daripada ratusan pemain yang terkesan bertindak membuat aduan rasmi sepertimana didedahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.
“Jika mengikut aduan rasmi, kita hanya menerima dua saja daripada pemain KDAFC manakala membabitkan pasukan lain tiada. FAM memandang serius masalah tunggakan gaji dan berharap pemain atau jurulatih tampil membuat aduan rasmi untuk tindakan susulan.
“Aduan rasmi penting untuk pihak berkaitan menjalankan siasatan seterusnya mengambil tindakan. Jika tiada aduan sudah pastinya sukar untuk kita mengetahui situasi sebenar yang melanda pasukan itu,” katanya kepada Arena Metro.
Baru-baru ini, isteri kepada salah seorang pemain Kedah, Irfan Zakaria ‘naik angin’ dan menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pengurusan pasukan itu yang didakwa bersikap tidak bertanggungjawab.
“Sampai bila Kedah FC ini nak berhutang dengan player? Kalau tak ada duit, tutup sahajalah. Tak rasa berdosa ke aniaya orang? Player ada anak bini nak tanggung ada komitmen lain. Sembilan bulan sudah woiii, teruk betullah team macam ini,” kata Mas Hamizah di media sosial miliknya.
Manakala pemain KL Rovers, Ameer Saidin pula menyatakan ini adalah detik paling sukar dilaluinya sepanjang bergelar pemain bolasepak apabila tujuh bulan tidak dibayar gaji.
Berita Berkaitan: Detik Paling Sukar Dalam Karier
“Saya sendiri perlu keluarkan wang simpanan, jual barangan yang kami sayang dan semestinya terpaksa meminjam untuk meneruskan hidup. Keadaan sekarang hanya bermain bola sepak untuk diri sendiri.
“Ada pemain yang terpaksa buat dua kerja, ada yang hantar isteri pulang ke kampung dan dipaksa keluar rumah. Saya maklumkan kepada mereka agar hadir latihan dan perlawanan untuk diri sendiri. Mungkin tahun ini ujian, tahun depan ada rezeki,” ujarnya.