Penyerang Harimau Malaya, Paulo Josue menyambut baik revolusi Harimau Malaya yang sedang rancak dilaksanakan.
Menurutnya kemasukan individu-individu berprofil tinggi dengan pencapaian yang mengagumkan membuktikan betapa seriusnya usaha FAM untuk merubah wajah skuad kebangsaan.
Bermula dengan pelantikan Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kemudian mengumumkan Rob Friend sebagai CEO.
Baca juga: KL City Tak Paksa Pemain Wakili Kelab
Ia disusuli pula dengan pelantikan Dr. Craig Duncan, saintis terkemuka Australia sebagai ketua prestasi tinggi dan perubatan sukan FAM.
Bagi Josue, ini adalah inisiatif yang sangat wajar dipuji dalam misi utama untuk meningkatkan prestasi dan kualiti skuad kebangsaan.
Begitupun dia menyuarakan sedikit kebimbangan mengenai potensi pemain-pemain tempatan kehilangan tempat memandangkan revolusi yang dicetuskan Tunku Ismail Sultan Ibrahim ini dilihat rancak memburu pemain warisan dan naturalisasi untuk memperkuatkan pasukan.
“Revolusi Harimau Malaya sememangnya bagus kerana kita bakal mengharungi beberapa perlawanan penting termasuklah kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac ini.
“Cuma saya mengharapkan pemain tempatan dan sebelum ini yang pernah mewakili Malaysia diberikan tempat untuk berada dalam pasukan kebangsaan.
“Hal ini kerana, saya ada mendengar banyak khabar angin terutamanya akan menggunakan ramai khidmat pemain berdarah campuran yang beraksi di luar negara. Mungkin agak sukar pemain Liga Super untuk mewakili negara kelak,” kata Josue seperti dilaporkan Arena Metro.
Untuk makluman, sebelum ini Tunku Ismail ada menyatakan bahawa beliau sedang bekerjasama dengan FIFA untuk mendapatkan data pemain warisan (berdarah campuran) di luar negara.
Baru-baru ini, harapan penyokong untuk melihat kelibat kapten Burnley Josh Brownhill dalam jersi Malaysia berkecai setelah pemain itu menafikan ada kaitan dengan Malaysia. Begitu juga dengan Iggy Houben dan Isaac Hayden yang mana kesemua mereka ini mula dikaitkan sebagai berdarah Malaysia menerusi laporan palsu oleh frfuturetalent.