Pemain yang hangat dikaitkan sebagai pemain warisan yang akan memperkuatkan Harimau Malaya, Josh Brownhill menafikan dirinya ada kerakyatan Malaysia.
Josh Brownhill juga tidak faham bagaimana spekulasi ataupun khabar angin bahawa dia ada darah Malaysia boleh timbul.
“Saya mahu menjelaskan mengenai situasi semasa yang sedang diperkatakan. Sayangnya satu-satunya kerakyatan saya adalah English dan saya bukan rakyat Malaysia sepertimana tanggapan sesetengah orang.
“Saya tidak pasti di mana semua ini bermula tetapi saya perlu menjelaskannya. Apa pun terima kasih atas sokongan anda,” ujar Brownhill.
Kenyataan Brownhill itu juga sebagai respon kepada permintaan Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya pemain itu membuat kenyataan untuk meredakan segala spekulasi yang bertiup kencang sejak berminggu-minggu lamanya.
Sebagai rekod, nama Brownhill mula menjadi sebutan penyokong selepas laman pencari bakat frfuturetalents menyenaraikan kapten Burnley itu sebagai salah seorang pemain berpotensi mewakil negara atas kapasiti pemain warisan.
Laman itu mendakwa Brownhill yang berusia 29 tahun kononnya mempunyai pertalian darah dengan Malaysia menerusi neneknya.
Selain Burnley, Brownhill yang bermain di posisi tengah turut pernah beraksi bersama beberapa kelab seperti Preston North End, Barnsley dan Bristol City.