HomeNostalgiaBebeto, Pencetus Gaya Goal-Celebration Ikonik Membuai Bayi

Bebeto, Pencetus Gaya Goal-Celebration Ikonik Membuai Bayi

Meraikan jaringan dengan gaya mendodoi atau membuai bayi merupakan antara gaya celebration paling ikonik dalam arena bolasepak. Gaya tersebut menjadi satu trend sejak berdekad sama ada oleh pemain-pemain profesional mahupun amatur sebagai mendedikasikan jaringan kepada bayi yang baru lahir atau bakal lahir, dan menunjukkan rasa gembira bergelar bapa.

Tetapi tahukah anda siapa pemain yang bertanggungjawab mempopularkan gaya celebration tersebut. Ia tidak lain, bekas bintang Brazil, Bebeto dan lebih menarik gaya itu pertama kali dipertonton kepada dunia, di pentas Piala Dunia 1994.

Mengimbau kenangan 32 tahun lalu, Bebeto memberitahu, pada malam sebelum pertembungan suku akhir menentang Belanda, dia berulang kali cuba menghubungi isterinya, Denise, yang ketika itu sedang sarat mengandung.

Dia tidak tahu, isterinya telah pun mengalami contraction (sakit bersalin) dan memasuki dewan bersalin. Beberapa jam kemudian, penyerang Brazil itu akhirnya menerima panggilan telefon yang menyatakan anak lelakinya, Mattheus, selamat dilahirkan, manakala ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat.

Sejam kemudian, rangkaian televisyen Globo menghubungi bilik penginapan Bebeto dan memintanya turun ke bawah. Setibanya di sana, dia dibawa duduk di hadapan sebuah skrin televisyen. Sebaik sahaja melihat wajah isteri dan bayi yang baru dilahirkan itu, Bebeto tidak dapat menahan sebak lalu menitiskan air mata.

“Ia merupakan saat yang sangat emosional. Malah, saya masih beremosi apabila mengingat dan menceritakannya sekarang. Saya begitu ingin mendukungnya dalam pelukan saya, tetapi itu tetap satu kejutan yang cukup indah. Pada ketika itulah saya berdoa kepada Tuhan agar mengizinkan saya menjaringkan gol ketika menentang Belanda sebagai penghormatan kepada anak saya,” kata Bebeto kepada FIFA.

Pada minit ke-64 perlawanan suku akhir yang mendebarkan di Cotton Bowl, ketika Brazil mendahului 1-0 doa Bebeto akhirnya dimakbulkan.

“Saya masih ingat Branco menanduk bola ke hadapan. Romario berada dalam kedudukan offsaid. Saya melihat pertahanan terakhir Belanda dan berkata dalam hati, ‘Saya tidak offsaid.’

“Saya terus memecut sekuat hati, melepasi Ed de Goey sebelum menjaringkan gol. Ia benar-benar seperti sebuah mimpi.”

Selepas menjaringkan gol itu, Bebeto secara spontan berlari sambil melakukan aksi membuai bayi sebagai dedikasi kepada anak lelakinya. Dia kemudiannya disertai Mazinho dan Romario yang meniru gaya sama, sekali gus mencipta antara goal-celebration paling ikonik dalam sejarah bola sepak.

“Semuanya berlaku secara spontan. Saya mula melakukan aksi membuai bayi. Apabila saya melihat ke kanan, Mazinho turut melakukannya. Saya pandang ke kiri pula, Romario juga melakukan perkara yang sama. Ia benar-benar satu detik yang indah. Hanya satu gerakan yang ringkas, tetapi penuh dengan kasih sayang dan cinta saya.”

“Saya telah menjaringkan banyak gol sepanjang karier saya – gol-gol cantik, gol yang menghadiahkan kejuaraan – tetapi semua orang hanya mengingati gol untuk Mattheus ini. Tidak kira di mana saya berada di dunia, orang sentiasa mahu bercakap dengan saya mengenai celebration tersebut. Sehingga hari ini, saya masih beremosi setiap kali mengenangkannya. Ia membawa makna yang sangat besar buat saya dan keluarga,” katanya sambil ketawa.

Lapan hari kemudian, Brazil sekali lagi mencipta detik bersejarah. Penjaga gol Claudio Taffarel berlutut sambil mengangkat kedua-dua tangannya ke langit California selepas sepakan penalti Roberto Baggio melambung tinggi, sekali gus menghadiahkan kejuaraan Piala Dunia keempat buat Brazil.

RELATED ARTICLES

Most Popular