Susulan kad merah yang dilayangkan kepada Folarin Balogun ketika Amerika Syarikat (USA) membenam Bosnia Herzegovina 2-0 dalam aksi Round of 32 Piala Dunia. Penyokong berharap Presiden USA, Donald Trump akan campur tangan untuk membatalkan kad merah itu.
Balogun meletakkan USA di depan sejurus sebelum tamat babak pertama sebelum Malik Tillman menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-82 untuk mengesahkan kemenangan.
Bagaimanapun, kemenangan itu turut dicemari kad merah yang diterima Balogun pada minit ke-64 selepas mengasari pertahanan Bosnia, Tarik Muharemovic. Insiden berlaku ketika kaki penyerang berusia 24 tahun itu terkena buku lali Muharemović dengan tapak butnya ketika perebutan bola.
Pengadil Raphael Claus pada mulanya hanya menghadiahkan sepakan percuma, namun melayangkan kad merah selepas semakan VAR, sekaligus menyaksikan Balogun akan terlepas aksi Round of 16 menentang Belgium di Seattle pada Isnin nanti.
Ramai penyokong beranggapan USA boleh mengemukakan rayuan kerana menganggap terjahan Balogun tidak jauh berbeza dengan kekasaran dilakukan Lionel Messi terhadap pemain Algeria, Aissa Mandi, yang tidak dikenakan tindakan dalam perlawanan pembukaan Argentina.
USA juga difahamkan mengambil langkah untuk kemukakan rayuan, tetapi mengikut peraturan, hukuman itu tidak boleh dirayu melainkan ada penggantungan tambahan dikenakan Jawatankuasa Tatatertib FIFA.
Justeru itu, penyokong USA meminta Trump menggunakan hubungan baiknya dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino untuk ‘membebaskan’ Balogun daripada penggantungan.
Seorang pengendali podcast, Manny Fidel, secara berseloroh menulis bahawa jika Trump benar-benar mampu memenangi penggal ketiga secara tidak sah, beliau juga boleh menghubungi Infantino bagi membatalkan kad merah Balogun.
Seorang lagi penyokong, Steve Magness, berkata Trump sepatutnya menggunakan Anugerah Keamanan FIFA yang diterimanya bagi mendesak badan induk bola sepak dunia itu menarik balik penggantungan Balogun.
“Apakah gunanya anugerah berkenaan jika Trump tidak mampu membantu Balogun.”
Hubungan baik antara Infantino dan Trump kembali menjadi perhatian selepas Presiden FIFA itu dikatakan melanggar kebiasaan apabila membenarkan Trump menyampaikan trofi kepada juara Piala Dunia pada perlawanan akhir nanti.



