Mengenali lebih rapat Eda Ezrin, penyanyi dikir barat moden yang cukup popular terutama dalam kalangan masyarakat Kelantan.
Eda atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, lahir pada 11 Mei 1995 dan berasal dari Kampung Perol, Kota Bharu.
Eda Ezrin merupakan kakak ipar kepada pelakon dan penyampai radio, Jaa Suzuran, dengan perkahwinannya berlangsung pada September 2023. Dia bagaimanapun mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertamanya sebelum ini.
Latar Belakang Karier Eda Ezrin
Penyanyi cantik manis ini dikatakan sudah mula aktif menyanyi sejak berusia 12 tahun dan telah menghasilkan beberapa lagu dalam loghat Kelantan antaranya Adik Jando Abe Dudo,
Selain menyanyi, dia juga mengusahakan perniagaan sendiri, Eda Ezrin Station dan turut aktif mempromosikan produk usahawan tempatan selain membuat persembahan di luar Kelantan serta luar negara, berikutan situasi sukar untuk menyanyi dalam negeri sendiri.
Popularitinya mencanak selepas lagu Cinta Setandan Pisang viral di tiktok, khususnya kerana lirik ‘Bey Soba Bey’ yang meniti di mulut peminat sekaligus mengangkat namanya sebagai artis tempatan popular.
Lagu tersebut juga telah menjuarai Carta Muzik TikTok Malaysia sekali gus mempopularkan loghat Kelantan di mata dunia, dengan lebih 23 juta tontonan di Youtube, malah diputarkan stesen-stesen radio nasional seperti Era FM, Suria FM, dan Nasional FM.
Baca juga: Eda Ezrin Jadi Sasaran Cemburu Sejak Viral Lagu Bey Soba Bey
Lagu Cinta Setandan Pisang adalah kolaborasi Eda Ezrin dengan Den Manjo, ciptaan komposer berpengalaman Eddie Hamid. Kerana liriknya itu juga, ia lebih dikenali sebagai lagu Bey Soba Bey dalam kalangan penggemar muzik.
Ditahan di Pekan Golok
Pada 1 November lalu, media melaporkan Eda bersama lima individu lain termasuk suaminya ditahan Polis Thailand bersama 6,000 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Pekan Golok.
Kesemua mereka disahkan positif dadah jenis methamphetamine, dan dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat untuk direman.