Otai Station mengimbau kejayaan dan pencapaian Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih sebelum dilantik mengendalikan skuad B-23 kebangsaan.
Bekas pengendali Terengganu dan Kedah, Nafuzi Zain secara rasminya telah diumumkan sebagai ketua jurulatih baru skuad B-23 kebangsaan pada Isnin.
Nafuzi diketahui sebagai jurulatih yang gemar bekerjasama dan banyak menaikkan pemain-pemain muda. Justeru tidak hairanlah kredibiliti itu menjadi sandaran Persatuan Bolasepak Malaysia untuk memulihkan prestasi skuad B-23 kebangsaan.
Baca: Resume Mantap Nafuzi Sandaran Pulihkan Prestasi Skuad B-23
Prestasi skuad B-23 boleh dikatakan agak malap tanpa sebarang pencapaian membanggakan di bawah kendalian E.Elavarasan dan kemudian Juan Torres Garrido.
Kini ia menjadi tanggungjawab Nafuzi untuk memperkasa pasukan seterusnya mengenalpasti pemain-pemain muda berkualiti untuk diserap ke skuad senior.
Piala Presiden, Trofi Sulung Karier Kejurulatihan Nafuzi
Mengimbau pencapaian jurulatih kelahiran Kelantan ini, trofi pertama dimenanginya selaku ketua jurulatih adalah Piala Presiden bersama skuad The President Warriors pada 2015.
Kelantan muncul juara dengan menewaskan Pulau Pinang 2-1 menerusi jaringan Fakhrul Zaman dan Azwan Aripin. Faisal Halim yang baru berusia 17 tahun turut beraksi dalam perlawanan itu, manakala kapten Kelantan Qayyum Marjoni pula dilayangkan kad merah.
Lebih menarik, Kelantan pada musim itu bukanlah pasukan pilihan dan dilabel underdog. Dalam laluan ke final mereka menyingkirkan juara bertahan Perak (suku akhir) serta Terengganu (separuh akhir).
Meskipun turut pernah membantu TPW muncul juara pada 2011 dan 2013, namun ketika itu Nafuzi berperanan sebagai penolong ketua jurulatih, masing-masing kepada Zahasmi Ismail dan Sideek Samsudin.
Pada 2016, beliau memilih untuk berkelana ke negeri jiran dan membimbing skuad Piala Presiden T-Team muncul naib juara, tewas kepada Kelantan kendalian arwah Hashim Mustapha dalam aksi final.
Membina Reputasi, Memantapkan Resume
Peranan sebagai ketua jurulatih skuad Liga Super, hanya hadir pada 2020, setelah beliau dilantik sebagai pengganti kepada Irfan Bakti.
Tiga tahun sebelumnya, Nafuzi menggunakan sebaik mungkin peluang menimba ilmu daripada gurunya itu apabila bertindak sebagai penolong ketua jurulatih Terengganu.
Walaupun tidak memenangi sebarang trofi, tetapi Nafuzi membawa Terengganu menduduki tempat ketiga Liga Super 2020; naib juara Liga Super 2022 dan Piala FA 2022; selain layak ke Piala AFC.
Beliau kemudian dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 sebelum berhijrah membimbing Kedah pada 2023 dan 2024.