HomePiala ASEAN: Paolo Josue, Declan Lambert Pulang Ke KL City

Piala ASEAN: Paolo Josue, Declan Lambert Pulang Ke KL City

Dua pemain kebangsaan, Paolo Josue dan Declan Lambert dilepaskan untuk memperkuatkan KL City dalam aksi Liga Super berdepan Negeri Sembilan pada Selasa, 17 Disember.

Perkembangan itu jelas melegakan pengendali KL City, Miroslav Kuljanac memandangkan KL City berdepan kekangan menyenaraikan skuad terbaik disebabkan masalah penggantungan dan kecederaan.

“Kita kehilangan dua tonggak penting iaitu Kenny Palraj (kecederaan) dan Adrijan Rudovic kerana penggantungan. Jadi kita menghargai FAM kerana memahami masalah kami,” kata Kuljanac.

Tindakan KL City memanggil pulang dua pemain itu bagaimanapun tidak memberi justifikasi kepada kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar yang sebelum ini memberitahu bahawa mereka tidak akan memaksa pemain mewakili kelab ketika berada di kem kebangsaan.

Berita Berkaitan: KL City Tidak Paksa Pemain Wakili Kelab

Paolo Josue dan Declan Lambert bagaimanapun dijangka akan segera kembali ke pangkuan skuad Vicente Pau Marti bagi persiapan menentang Singapura di Bukit Jalil pada Sabtu.

Malaysia wajib menang perlawanan tersebut untuk mara ke separuh akhir, tetapi perlu terlebih dahulu mengharapkan Singapura tidak menang ke atas Thailand pada Selasa.

Sebagai makluman, Josue dan Lambert bukanlah yang pertama dilepaskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dari kem kebangsaan di saingan Piala ASEAN ini.

Sebelum ini Syamer Kutty dan Adib Ra’op terlepas aksi menentang Timor Leste setelah pulang membantu cabaran Penang FC dalam saingan Piala Cabaran. Mereka berdua kembali melapor diri bersama Harimau Malaya dan diturunkan ketika menentang Thailand.

Manakala empat pemain Sabah iaitu Dominic Tan, Stuart Wilkin, Darren Lok dan Daniel Ting pula dipanggil pulang oleh Sabah bagi aksi Piala Malaysia menentang Kuching.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan keadaan ini berlaku kerana pertandingan berlangsung di luar kalendar FIFA.

“Kita memahami situasi dihadapi kelab. Kelab bantu kita dan kita pun kena bantu kelab juga,” ujarnya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!