Malaysian Football League (MFL) mengakui sedar berkenaan jadual Liga Malaysia yang tidak teratur dan berjanji mencari jalan penyelesaian.
Penjadualan caca marba dengan terlalu banyak rehat panjang; perlawanan dilangsungkan sebulan sekali ataupun dua kali; jadual perlawanan yang kerap berubah; dilihat bukan sahaja menjejaskan kualiti dan kemeriahan Liga Malaysia tetapi dalam masa sama membunuh keghairahan dalam kalangan penyokong.
Ini juga sekaligus menyaksikan kemerosotan kehadiran penyokong ke stadium.
Baca Juga: Liga-M Suram Salahkan JDT, Level Bodoh Tahap Apa Ni – TMJ
Justeru Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Giorgio Pompili Rossi berkata MFL mengambil maklum perkara ini dan memberi perhatian serius untuk penjadualan lebih efektif di musim depan.
Namun dalam masa sama mahu penyokong memahami ini baru musim pertama perubahan dilaksanakan dan memberi masa untuk segalanya kembali normal.
“Saya berasa kita mesti mengambil kira beberapa faktor seperti perubahan kalendar liga musim ini, penutupan beberapa venue kelab untuk proses naik taraf, keadaan cuaca, perlawanan tidak dimainkan pada tarikh yang sesuai dan sebagainya.
“MFL sedar mengenai situasi ini dan kami sedang berusaha mencari penyelesaian terbaik. Pertama sekali, susunan kalendar yang lebih baik untuk musim depan.
“Beberapa isu penjadualan berlaku akibat perubahan saat akhir dalam pertandingan luar, seperti Piala AFF. MFL juga terpaksa menyelaraskan jadual berdasarkan permintaan kelab mengikut kesediaan venue, keadaan cuaca dan komitmen antarabangsa,” kata Giorgio.
Rossi juga berharap sokongan terhadap kelab yang bersaing tidak pudar, kerana penyokong adalah teras kepada kelab dan sokongan mereka adalah penting dalam memotivasikan pemain untuk bersaing di samping menyumbang kepada pendapatan kelab.