Meskipun berstatus pendatang baru, Kedah nampaknya benar-benar serius mahu memberikan cabaran dalam kancah Malaysia Premier Futsal League (MPFL 2025).
Selepas mengekalkan khidmat Nattawat Luksanato dan mendapatkan import Paraguay, Shammir Olmedo Ayala, skuad hijau kuning memperkasakan pasukan dengan membawa masuk tujuh lagi pemain, kesemuanya merupakan nama yang tidak asing dalam kancah futsal tempatan.
Mendahului senarai adalah Yazid Kamaruzuan, bekas pemain kebangsaan yang membantu JDT menjulang kejuaraan berganda pada musim lalu.
Pemain berusia 33 tahun itu membawa bersama pengalaman beraksi dengan pasukan elit lain seperti Pahang Rangers dan Selangor, selain turut pernah berkelana di Australia.
“Ketajaman penyudah, kepimpinan di atas gelanggang serta keupayaannya mencuri peluang dalam permainan ‘Power Play’ menjadikannya aset penting dalam misi pasukan musim ini.
“Kekuatan kaki kiri berbisa serta kelincahan yang sukar dikawal, Yazid dijangka memberikan dimensi baharu dalam serangan Kedah. Barisan kejurulatihan optimis kehadirannya akan memperkukuh pasukan dan meningkatkan lagi cabaran Kedah dalam perebutan kejuaraan musim ini,” menurut kenyataan oleh Persatuan Bolasepak Kedah.
Selain Yazid, Kedah turut mengumumkan kepulangan empat pemain iaitu Syarifuddin Md Akhir, Hafizi Marzuki, Syahman Idris, dan Hafiz Md Desa ke pangkuan pasukan itu.
“Syarifuddin (Din) & Hafizi (Fizi), pemain Ala dan Fixo ini kembali ke skuad Hijau Kuning selepas berkelana ke Gombak TOT United, akan membawa pengalaman dan semangat baharu.
“Syahman Idris, goleiro yang berpengalaman luas dalam kancah Futsal Malaysia dan pernah menyarung jersi Hijau Kuning di awal kariernya, kini bersedia untuk satu lagi perjuangan. Manakala Hafiz, pemain Ala yang rembatannya memberi igauan ngeri buat goleiro lawan kini kembali diberi kepercayaan bersama skuad musim ini.”
Dua lagi pemain yang turut sama menyertai revolusi Kedah, adalah Nur Luqman dan Mukhlis Ihsan.
“Berpengalaman bersama KPT-Mustangs dan Pulau Pinang dalam saingan MPFL sejak 2022, Mukhlis bukan sahaja memiliki ketajaman di hadapan gol, tetapi juga kecerdikan taktikal yang mampu mencorak serangan berbahaya.
Lebih mesra disapa dengan panggilan ‘Chang’, beliau merupakan graduan dalam bidang Sains Sukan UPSI, bersedia untuk berjuang bersama Hijau Kuning dan memberikan aksi terbaik serta magisnya di musim baru,” menurut kenyataan Kedah lagi.
Sebagai rekod, Kedah pada musim lalu muncul naib juara saingan Divisyen Dua, di belakang Kelantan.