Masih ingat lagi pertemuan antara Malaysia dan Kyrgyzstan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Jun tahun lalu?
Ketika itu, Malaysia kendalian Kim Pan Gon bertandang ke Bishkek dengan membawa misi wajib menang, tetapi akhirnya pulang dengan satu mata susulan keputusan seri 1-1.
Sebenarnya ada kisah yang ramai tidak tahu, mengenai persiapan skuad kebangsaan untuk menghadapi perlawanan getir itu sepertimana didedahkan Christopher Raj.
Christopher yang merupakan Exco FAM, berkata badan induk itu pada waktu itu menyewa penerbangan khas dengan kos RM1.25 juta untuk Harimau Malaya terbang ke Kyrgyzstan.
Perkara itu menurutnya, diusahakan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin bagi memenuhi permintaan Pan Gon selain bertujuan memastikan persiapan Harimau Malaya menghadapi perlawanan tersebut tidak terjejas.
“Walaupun MAS (Malaysia Airlines) menjadi rakan rasmi penerbangan (Harimau Malaya) tetapi MAS tak terbang ke Kyrgyzstan. Kita menyewa penerbangan khas kerana Pan Gon berasakan jika guna penerbangan komersial, pasukan akan berada di lapangan terbang Istanbul hampir 48 jam untuk dapatkan penerbangan seterusnya.
“Jadi, untuk kurangkan (tempoh perjalanan) kerana selepas itu pasukan akan menentang Taiwan di Kuala Lumpur (11 Jun), jadi salah satu permintaan daripada Pan Gon, pasukan naik penerbangan khas.
“Tan Sri (Hamidin) usahakan dan FAM mengeluarkan duit untuk bayar penerbangan khas bagi membawa pasukan ke Kyrgyzstan. Sudah pasti beliau yang melantik Pan Gon dan segala yang diperlukan Pan Gon semuanya disediakan oleh FAM.
“Nak tukar hotel, nak duduk di hotel mana, nak pergi berapa hari sebelum perlawanan dan saya boleh katakan kontinjen Pan Gon datang dengan berjuta ringgit, mereka tidak datang dengan murah.
“Sistem yang dibeli, dari segi teknologi yang diperlukan, semuanya dibayar oleh FAM dengan bantuan penaja, dana kerajaan dan sebagainya dan dengan itulah mereka layak ke Piala Asia.
“Apabila kita pulang dari Piala Asia (Qatar), dalam beberapa bulan saja mereka lupakan apa yang dibuat. Tapi itulah sukan, satu hari anda boleh jadi juara dan hari seterusnya anda boleh kalah dalam pusingan awal, kemudian seluruh negara kritik anda,” kata Christopher.
Christopher yang juga Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi dan Perhubungan Awam FAM berkata demikian ketika temu bual dalam Podcast Borak Harini yang dikendalikan moderator, Asrizal Aris dan disiarkan di laman YouTube Berita Harian Online, pada Khamis.