Natxo Insa nampaknya sudah pulih daripada kecederaan yang dialami ketika menentang Ulsan Hyundai dan tidak menunggu lama untuk diturunkan.
Pemain tengah veteran itu kembali memakai lilitan lengan sebagai kapten ketika JDT menentang Lions City Sailors dalam aksi persahabatan antarabangsa, pada Rabu.
Perlawanan itu dimenangi JDT dengan keputusan 1-0 menerusi jaringan Shahrul Saad dua minit sebelum tamat.
Sebelum ini, penyokong JDT dan Harimau Malaya kecewa apabila pemain berdarah kacukan Malaysia-Sepanyol ini tidak dapat bersama skuad kebangsaan. Ini berikutan dia mengalami kecederaan pada 5 November ketika JDT membelasah Ulsan Hyundai bimbingan Kim Pan gon dalam saingan Asia Champions League Elite.
Tempatnya kemudian telah digantikan oleh Zhafri Yahya, pemain KL City FC.
Berita berkaitan: Natxo Insa dan Sejarah Call Up Skuad Harimau Malaya
Pau Marti dalam satu kenyataan menyatakan harapannya agar Insa akan segera pulih dan dapat menyertai pasukan dalam call-up akan datang.
Begitu jugalah harapan seluruh penyokong Harimau Malaya yang hanya pernah menyaksikan kelibatnya dua kali mewakili negara sejak membuat debut tujuh tahun lalu.
Penampilan sulung Natxo Insa bersama Malaysia adalah ketika menentang Mongolia pada 2018 dalam perlawanan persahabatan. Manakala caps keduanya adalah ketika Malaysia tewas kepada Jordan dalam saingan Piala Asia.
Dalam kedua-dua perlawanan itu, Insa beraksi tidak lebih 45 minit.
Kredit foto: Johor Southern Tigers