HomeRencanaNijey Kini Centre-Back Kedua Termahal Liga Malaysia

Nijey Kini Centre-Back Kedua Termahal Liga Malaysia

Tonggak pertahanan Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni kini melonjak sebagai pemain centre-back tempatan kedua termahal Liga Malaysia.

Pemain kelahiran Kelantan itu berkongsi kedudukan kedua bersama Feroz Baharudin, dengan nilai €250,000 (sekitar RM1.2 juta), menurut data transfermarket.

Pertahanan Sabah, Dominic Tan pula kekal unggul memegang status sebagai centre-back tempatan termahal Liga Malaysia dengan nilai €300,000 (sekitar RM1.4 juta).

Menariknya, Shahrul Nizam atau dikenali dengan panggilan Nijey, adalah satu-satunya pemain yang tidak pernah bermain untuk skuad negara lolos ke kedudukan top 5 centre-back tempatan termahal.

Lima Centre-Back Termahal Liga Malaysia

  1. Dominic Tan (Sabah) – €300,000;
  2. Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu), Feroz Baharudin (JDT) – €250,000;
  3. Sharul Nazeem Zulpakar (Selangor) – €225,000;
  4. Shahrul Saad (JDT) – €200,000

Masih Menanti Debut Harimau Malaya

Sejak meninggalkan Kelantan untuk bersama Terengganu empat tahun lepas, Nijey telah membuat lebih 100 penampilan bersama sang penyu.

Dia berjaya memenangi hati penyokong dengan aksi solid lantas mengukuhkan reputasinya sebagai tonggak keampunan pertahanan Terengganu. Seterusnya menyerlah sebagai antara pertahanan tengah terbaik dalam negara.

Di sebalik kemegahan tersebut, Nijey pada hakikatnya tidak pernah berpeluang mewakili skuad senior kebangsaan. Dia pernah dipanggil hanya dua kali ke kem latihan pusat skuad kebangsaan, yang terakhir pada Mei 2022 oleh Kim Pan-gon.

Manakala yang pertama adalah pada Oktober 2021. Namun dia gagal melapor diri ke kem kebangsaan setelah dipanggil Tan Cheng Hoe pada saat akhir menggantikan Dion Cools yang cedera.

Nijey ketika itu gagal dihubungi FAM mahupun kelabnya untuk dimaklumkan bahawa dia perlu melapor diri ke kem kebangsaan. Ini berikutan dia telah lebih awal turun ke laut untuk mencandat sotong.

Baca juga: Wajah Baru Harimau Malaya, Malaysia Football’s Next Big Thing!

Sejurus kembali ke darat, dia terkejut menerima berita tersebut dan menyatakan rasa terkilan apabila ada pihak menuduhnya tidak menghormati panggilan skuad kebangsaan.

“Jujur cakap semua pemain teringin menyarung jersi kebangsaan. Ia seperti impian menjadi kenyataan. Kalau saya tahu tidak mungkin saya lepaskan peluang ini.

“Pengurusan pasukan memberi cuti selama lima hari selepas perlawanan menentang Selangor, jadi memang saya tiada perancangan lain dan terus balik kampung.

“Sampai di kampung saya turun ke laut. Kami keluarga nelayan. Niat saya tak lain turun ke laut membantu keluarga tapi bila sampai ke darat, baru saya dapat tahu tentang perkara ini dan terkejut.

“Ia sudah terlewat pasukan sudah pun terbang ke Jordan. Tetapi yang membuatkan saya kecewa dan moral saya terjejas teruk, saya dilabel tidak menghormati panggilan kebangsaan. Saya dikatakan tidak serius dan macam-macam tohmahan lain,” ujarnya waktu itu.

Semoga Ada Rezeki Wakili Harimau Malaya

Pada usia 26 tahun, peluang sebenarnya masih terbuka luas buat Nijey untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Walaupun sudah lebih dua tahun sejak kali terakhir dipanggil, mengambil kira Pau Marti sedang dalam proses menyuntik nafas baru ke dalam skuad, tidak mustahil dia akan berada dalam senarai panggilan akan datang.

Semoga Nijey akan terus konsisten meningkatkan prestasi seiring status selaku antara centre-back termahal Liga Malaysia, dan dapat memperkasa benteng skuad kebangsaan satu hari nanti.

Kredit foto: Terengganu FC

Hakcipta penulisan sepenuhnya milik Otai Station. Sebarang terbitan semula sila kreditkan kepada otaistation.com.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!