Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek memberikan pesanan tegas kepada gandingan profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani supaya tidak dibuai dengan status baharu mereka sebagai beregu lelaki nombor satu dunia.
Dalam kemas kini terbaru ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Sze Fei-Izzuddin atau lebih dikenali FeiDin mencipta sejarah apabila memintas gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen selepas pasangan Eropah itu gagal mempertahankan kejuaraan di Masters Malaysia minggu lalu.
Namun bagi Razif yang pernah berada di kedudukan no.1 dunia bersama adiknya Datuk Seri Jalani Sidek pada penghujung 80-an, pencapaian tersebut hanyalah satu permulaan kepada cabaran yang lebih besar.
“Tahniah kepada mereka, ini memang membanggakan. Tapi bila dah jadi nombor satu, semua mata tertumpu pada kita. Tekanan tu jadi lebih berat sebab semua nak tumbangkan kita,” ujar Razif dalam laporan disiarkan BH Sukan.
Tambah Razif, kedudukan di puncak ranking bukan jaminan untuk terus berjaya jika prestasi tidak dapat dikekalkan secara konsisten.
“Nak sampai ke atas tu susah, tapi nak kekal di atas tu lagi sukar. Kalau mereka tak berjaya ulangi prestasi di kejohanan-kejohanan penting, ranking boleh jatuh semula.”
Selepas menjuarai Terbuka India pada Januari lalu, prestasi pasangan ini sedikit menurun apabila gagal mara ke separuh akhir dalam kejohanan-kejohanan selepas itu.
Mereka dijadual kembali beraksi di Terbuka Singapura, membuka kempen menentang pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.
Razif turut menyarankan agar mereka kembali memberi fokus kepada latihan dan aspek persediaan untuk kekal berada di tahap terbaik.
“Ranking ini bukan kemuncak, ini permulaan sebenar. Kalau mereka ambil ini sebagai motivasi untuk terus konsisten, mereka boleh pergi jauh. Tapi kalau rasa dah cukup, boleh tenggelam dalam sekelip mata,” katanya.
Pencapaian itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin menjadi beregu lelaki Malaysia pertama menduduki ranking nombor satu dunia sejak Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada 2016, sekaligus meletakkan mereka sebaris dengan lagenda terdahulu seperti Razif-Jalani, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock.
“Bila dah di puncak, kita kena berfikir dan bertindak seperti juara. Kuncinya — jangan leka, jangan rasa selesa,” Razif mengakhiri pesanan.
Dalam perkembangan lain, dua lagi beregu lelaki negara turut berada dalam kelompok elit dunia. Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di kedudukan ketiga dunia, manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun naik satu anak tangga ke tangga ketujuh selepas muncul juara Masters Malaysia 2025, Ahad lalu.