Dato’ Ong Kim Swee nampaknya tidak menunggu lama untuk memenangi hati penyokong di Indonesia, khususnya penyokong di kelab barunya Persis Solo.
Dalam kenyataan kepada media kelab, Ong Kim Swee mengakui kagum dengan semangat dan keghairahan penyokong di negara itu yang menurutnya merupakan elemen penting kekuatan pasukan.
“Pengalaman saya di Indonesia atau di Malaysia, ataupun timnas (pasukan kebangsaan) bermain, pendukung (penyokong) Indonesia ini lebih fanatik.
“Bagi saya ini suatu kelebihan untuk setiap tim. Ini pasti akan membantu PERSIS jika semua suporter bersatu dan memberikan motivasi.
Baca juga: Wan Rohaimi, Antara Jurulatih Terbaik Dilahirkan NFDP
“Saya percaya dalam sepakbola, bukan hanya ada 11 pemain yang menentukan kejayaan, tapi para penyokong juga memainkan peranan yang amat penting,” ujarnya.
Mengenai harapan tinggi penyokong ke atasnya akan membuatkan beliau tertekan, apatah lagi Persis Solo ketika ini bergelut di zon penyingkiran. Ini jawapan Ong Kim Swee:
“Dalam sepakbola, senantiasa ada tekanan, baik ketika menang atau kalah, jadi yang penting adalah saya mengerti para penyokong yang menginginkan kejayaan. Itu tentu merupakan keutamaan kita.
“Saya harus menerima tekanan di mana dalam sepakbola, ada hasil yang mengecewakan, tetapi bukan ertinya kita akan terus kecewa.
“Terutama, kita harus bangkit apabila kita menerima keputusan tidak baik,” ujarnya.
Ong Kim Swee menyertai Persis Solo setelah tiga musim membimbing Sabah di Liga Malaysia. Dalam tempoh tersebut beliau melonjakkan Sabah sebagai pasukan pencabar kejuaraan domestik dan membawa mereka ke separuh akhir Piala AFC 2023/24 Zon Asean.
Kenapa Pilih Persis Solo
Beliau juga menjelaskan alasan memilih berkelana ke Indonesia, adalah disebabkan mahu mencuba cabaran baru dalam karier.
“Ini satu peluang bagi saya bersama kelab yang memiliki cita-cita yang cukup tinggi.
“Di mana saya hadir bersama PERSIS dan memastikan semua pihak memiliki objektif yang sama, dan objektif kita adalah untuk memastikan PERSIS berada di posisi yang baik.
“Itu merupakan tujuan utama saya, memastikan kita dapat beraksi lebih baik selepas ini.”
Keutamaan beliau dalam tempoh terdekat adalah memantapkan komunikasi bersama pemain dan pegawai pasukan, serta mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pasukan dengan lebih dekat.
“Saya selalu mempunyai cara untuk berkomunikasi, terutama sebelum memikirkan apa corak permainan dan corak latihan. Saya perlu mengenali semua pemain, kerana ini penting bagi saya mengetahui para pemain di dalam dan di luar lapangan.
“Terlebih dulu, saya perlu lihat dari segi corak permainan sebelumnya. Pada waktu yang sama ketika latihan nanti, tentu dengan kualiti yang kita ada, barulah saya pikirkan corak permainan.
Pernah membimbing skuad Harimau Muda dan B-22 kebangsaan, Ong Kim Swee membawa reputasi sebagai jurulatih yang bijak menaikkan pemain muda. Ia sekaligus dilihat sebagai kelebihan buat Persis Solo apatah lagi mereka dibarisi ramai pemain muda.
“Tapi untuk bermain di kompetisi tertinggi, kita harus memiliki kombinasi pemain senior dan pemain muda bergabung. Ini penting untuk kita memiliki suatu corak permainan dan memiliki keseimbangan setiap posisi yang diturunkan. Kita harus memperbaiki untuk mendapatkan keputusan yang baik.”